Saturday, 16 August 2014

Tarim dalam sebuah puisi






Tajuk: Wadi Hadhramout dan sebuah daerah istimewa.


Disebalik cuacamu yang panas membakar
Dan adakala kesejukan yang nyata sukar
Disebalik debu-debu dijalanan wadimu
Jua kegersangan bukit-bukit berbongkah batu
Disana……
Berdiri, rijal-rijal berpendirian padu
Yang mengalir dalam urat nadinya
Darah nabi kekasih Allah.
Nasal Ba-Alawi punya wibawa dan haibah
Al-Eydrus, as-Saggaf, al-Muhdhar, dan al-haddad
Antara  wali-wali hebat
Pandangannya tepat dan bermanfaat.



Jua ada antara mereka
Punya nasab para syuhadah 
Dari silsilah sahabah Rasulillah
Ba-Fadhal, al-Khatib antara yang disegani
Gelar diberi menyerlah peribadi
Mereka faqeh lagi mulia hati
Tiada dengki malah saling menghargai.

Dan Tareem...
Sebuah daerah penuh barakah
Harum sebutannya dibibir sejarah
Jua pujian pencinta Rasulullah.
Kenapa ia begitu menyerlah?
Sedangkan jauh diselatan Hadhramout pada garis kharithah?

Kerana doa as-Siddiqlah Tareem berubah
Dari daerah sunyi tak dikenal ummah
Ia pun bertukar seri pada wajah
Air wadinya melimpah ruah
Para walinya berkekalan hingga khiamah
Jua baladnya penuh imarah
Tiga doa Abu Bakar Abu A’isyah
Jelas terserlah dimakbulkan Allah
Buat Ahli Tareem 
Ia adalah hadiah
Kerna setia diawal sejarah
Dari ahlinya yang menggenggam baiah
Pada as-Siddiq pengganti Rasulullah
Disaat bahana fitnah zakat dan riddah
Bermaharaja dan bebas meratah.

Disaat Tareem kita jejaki
Terasa seolah kita cuma sendiri
Lantaran belum kita kenali
Siapakah ahli yang mendiami
Daerah al-Ghanna’ yang berberkah ini.

Tapi…..
Ketika ahlinya kita gauli
Dan masajidnya kita ziarahi
Juga madrasahnya kita hadiri
Terasa…
Tidak termuat hanya sekeping hati
Untuk menampung ilmu dan kalam para wali
Serta kasih ahli Tareem pada junjungan nabi
Selawat dan zikir, sentiasa dibibir
Biarpun hidup susah dan getir.

Maka...
Di waktu Tareem kita tinggalkan
Jelas terasa kesan perpisahan
Bakal mengundang sejuta kerinduan
Padamu Tareem,
Wadah pencinta kasih, habibur-Rahman.

Ummu zaharah , Sungai petani Kedah.


(Sebenarnya  permulaan puisi ini ditulis sewaktu mula tiba di Tarim dan pengakhirannya setelah pulang ke Malaysia. Sepatutnya ia diletak dipengakhiran blog. Tapi ingatan pada daerah istimewa ini menyebabkan ia perlu segera di kongsikan.)

Sunday, 25 May 2014

Inilah sebuah kisah 2 - Dendam si anjing putih.


Masih lagi dengan catatan di sekitar Raudhah. Sebuah kampung baru di pinggir Tarim yang terletaknya tempat pengajian Darul Mustafa juga masjid Raudhah. Khabarnya sekarang Raudhah telahpun dipenuhi dengan penduduk dari pelbagai negara kesan dari wujudnya Darul Mustafa di bawah pimpinan habib Omar bin Hafidz dan abangnya habib Ali Masyhur. Suasana yang dulu agak sepi sekarang semakin meriah dan sudah tentu terdapat kenaikkan berganda harga rumah untuk disewa.


Kawasan kejiranan Raudhah yang masih baru ketika itu. Kelihatan menara masjid Raudhah (gambar dari atas suthuh-bumbung rumah. ) .    


Apa yang ingin dikongsikan kali ini adalah berkenaan sebuah cerita yang berlaku ketika mula-mula mendiami rumah sewaan ar-Ribaki di Raudhah. Suasana yang sunyi dan jauh dari orang ramai ketika itu menjadikan pinggiran Raudhah singgahan anjing-anjing liar yang mungkin tinggal di kaki-kaki bukitnya. Sampah-sarap yang ada sering menjadi jamahan dan buruan anjing yang kelaparan. Lebih- lebih lagi pada waktu malam. Lolongan dan teriakkan anjing-anjing yang berkeliaran di luar rumah sering mengganggu tidur. Hinggalah pada suatu malam, kerana tidak tahan dengan lolongan anjing yang mengganggu, Abu Muhammad keluar dan mengejar anjing yang membuat bising. Rupanya lolongan yang mengganggu itu dari sekumpulan anjing termasuk  seekor anjing putih. Dek kerana takut dikejar, anjing-anjing itu  pun berlari jauh namun si anjing putih masih tetap menoleh kebelakang melihat manusia yang cuba menakutkannya. Malam itu keadaan tenang seketika bila tiada lagi lolongan anjing yang mengganggu tidur.

Pada malam berikutnya, kami terdengar suatu bunyi dihadapan pintu rumah. Sebaik sahaja pintu dibuka, rupa-rupanya si anjing putih yang di kejar semalam sedang mencapai sebelah kasut Abu Muhammad dengan mulutnya dan segera membawa lari! Biarpun dikejar Abu Muhammad yang berkaki ayam, namun si Putih tetap tidak melepaskan kasut yang digonggongnya hinggalah ia ditelan kegelapan malam dan Abu Muhammad terpaksa pulang dengan berkaki ayam serta redha dengan kasutnya yang berbaki sebelah sahaja. Begitulah dendam seekor anjing yang kembali mencari meskipun sekadar sebelah kasut. Walaupun kisah ini sekadar kisah yang melucukan tapi ia memberikan pengajaran yang bermakna. Sebenarnya masyarakat arab tidak sesekali meletakkan kasut diluar rumah. Selain untuk mengelakkan dari diambil oleh orang lain ia juga sebagai satu cara untuk mengelakkan orang yang lalu lalang dari mengetahui jumlah penghuni rumah samaada lelaki atau perempuan. Ia juga adalah sebagai satu adab dan adat. Pada awal kehadiran kami ke Tarim memang kasut kami letakkan dihadapan pintu rumah sebagaimana di Malaysia. Namun semenjak dari peristiwa sebelah kasut Abu Muhammad dicuri si anjing putih, kami tidak lagi meletakkan sebarang kasut diluar rumah.

Dimanapun kita berada , mengambil ibrah dari setiap peristiwa yang berlaku akan memberikan manfaat buat kita.
   

Saturday, 3 May 2014

Inilah sebuah kisah-Muharram pertama di Tarim.

Meneruskan catatan perjalanan di sebuah daerah istimewa. Bulan Muharram yang pertama di bumi Tarim kami nantikan dengan penuh debar. Kerana ia bakal menyaksikan kelahiran bayi sulung kami.
Disamping pengajian yang baru bermula, kesempatan yang ada diisi dengan mempelajari lahjah ahli Tarim dengan banyak berbual bersama ahli kejiranan Raudhah yang ketika itu masih boleh dikira dengan jari sahaja bilangannya. Sejenak mengenali ustaz Syed Ali, tuan punya kedai kecil di pinggir jalan Raudhah. Seorang yang sangat sederhana sekali. Namun dia merupakan pelajar lama yang pernah menuntut di Ribat Tarim dan menjadi tenaga pengajar Jamiah Ahgaf .Sesekali berkunjung ke kedainya kelihatan dia meluangkan masa yang terluang dengan membaca kitab-kitab sambil menunggu pelanggan datang.Sikap ramah -tamahnya menambahkan lagi rasa senang hati setiap pelanggan yang hadir kekedainya. Seperti masyarakat arab yang lain lidah mereka tidak lekang dari sentiasa mendoakan orang lain. Moga Allah mudahkan urusanmu, Moga Allah sentiasa membimbing mu, itulah antara ungkapan biasa yang sering kita dengar dari lidah mereka.

Di hadapan rumah kami adalah rumah keluarga  Saleh Bahbuh.Mampunyai beberapa orang anak gadis. Namun rumah tersebut belum mereka tempati sepenuhnya memandangkan mereka masih tinggal dirumah keluarga Saleh Bahbuh di Khalif. Pinggir pekan Tarim. Menjadi adat masyarakat disana  biasanya seorang gadis yang telah berkahwin akan tinggal bersama keluarga lelaki sehinggalah berkemampuan untuk mempunyai rumah sendiri.Rumah baru Saleh ini dua tingkat.  Luas dan selesa untuk anak-anak dan menantunya. Meskipun sekadar seminggu sekali mereka bertandang kerumah tersebut, sikap lunak hati mereka cukup terasa bila anak-anak gadisnya tidak segan bertandang untuk bertanya khabar Ummu Muhammad dan sesekali mengundang kami makan tengahari dirumah mereka .  Bila bahang kepanasan tanah Hadhramaut mula terasa, mereka dengan senang hati menawarkan ketulan-ketulan ais memandangkan kami masih belum memiliki peti sejuk ketika awal kehadiran disana. Rupanya dengan dengan keadaan cuaca yang panas kering mencapai 40 darjah telah menjadikan masyarakat disini begitu tegar dengan minuman sejuk. Di setiap rumah pasti disediakan tong air  berais buat penghilang dahaga.Dan di masjid - masjid tersedia air sabil dari peti sejuk khas untuk sesiapa sahaja. Berkah airnya melimpah ruah. Doa as-Siddiq jelas di maqbul Allah. Sumber airnya adalah dari telaga bawah tanah. Meskipun dengan hujan setahun sekali dua sahaja tapi tak pernah kami mengalami masaalah kekurangan atau catuan air.Walaupun bagi mereka yang tinggal di rumah yang bertingkat-tingkat.

Suhaila, seorang ibu yang mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil, Mahfoz dan Abdullah diperkenalkan kepada   Ummu muhammad oleh anak-anak gadis  Saleh Bahbuh.Dia yang tinggal tidak jauh dari rumah kami dengan senang hati menawarkan khidmat kepada Ummu Muhammad  seandainya ada sebarang keperluan setelah kelahiran nanti. Barakallah pada ahli Tarim yang membuat kami merasa selesa dan disenangi.

Alhamdulillah , pada 14 muharram kami menyambut kelahiran pertama di hospital Majma wadi Seyun.Pada 14 Muharram juga masyarakat Hadramaut meraikan tarikh sampainya Imam Muhajir ke bumi mereka.Jesteru  ketika pulang dari Majma' wadi dapat kami saksikan mereka berkumpul di Husayyisah tempat Imam Muhajir dimakamkan.  Terima kasih pada sahabat-sahabat yang membantu memudahkan urusan terutama Ustaz Azhar dan keluarga. Meskipun menyambut kelahiran dalam keadaan jauh dari sanak saudara , ada ujian dan kesulitan yang dihadapi, namun Allah jualah yang melebarkan rahmat dan kasih sayang-Nya dengan  memberi izin hamba-hamba-Nya yang beriman untuk saling bantu-membantu. Ummu Habibah , jiran dari mesir menawarkan untuk menghantar makan tengahari secara bergilir-gilir dengan keluarga pelajar-pelajar asing yang belajar di Dar Mustafa. Alhamdulillah, selama 2 minggu makan tengahari kami berbagai rasa. Mesir, Britan, Pakistan ,Amarika dan lain-lain. Sementara pada waktu pagi Mahfuz  dan adiknya Abdullah mengetuk pintu menghantar "Heif"(roti dari tepung bur dengan sedikit garam dan samin ditabur habbah sauda') atau "Brauthah". (seperti roti canai tapi ditambah habbah sauda' pada adunannya). Sesekali bayi kecil kami diziarahi wanita-wanita Tarim dan ahli pengajian Dar mustafa yang mendapat tahu tentang kelahiran ini. Juga perihatin dari seorang warga Indonesia, bibik Ruminah yang berkhidmat di rumah habib Omar bin hafizd ketika itu amat kami hargai. Berbagai nasihat dan panduan yang diberikannya begitu bermakna sekali apalagi dari rumpun nusantara yang sama.Ya Allah,rahmat-Mu melewati segala sesuatu.

Roti Heif(gambar , sumber FB)

Setelah beberapa hari kelahiran, kami bercadang untuk mentahnikkan si kecil. Namun ketika itu habib Omar telahpun bermusafir ke Malaysia . Jadi habib Ali bin Abu Bakar dan Syeikh Khalid dari Iraq (tenaga pengajar Darul Mustafa) menjadi pengganti habib Omar bin Hafizd.
Semoga Allah sentiasa memberkati perjalanan hidup kita.

Dalam suasana yang serba sederhana bayi kecil ditahnik habib Ali bin Abu Bakar dan Syeikh Khalid.
 
Tiada ungkapan yang dapat diucapkan bila jemputan untuk mentahnik anak, di penuhi oleh dua orang guru yang disegani ini  dengan senang hati. Barakallah fikum wafi ahlikum.Apa yang diharapkan ialah  tujuan untuk menjunjung sunnah nabi dengan mentahnik anak kepada orang-orang  yang soleh dan mendapat kebaikkan  dari mereka akan tercapai.

Beberapa hari setelah itu , seorang teman, Muhammad al-Haddad mengusulkan untuk membawa anak kecil kami bertemu seorang yang istimewa di Tarim . Peluang yang ada tidak akan disis-siakan.
Barakallah fik Muhammad kerana bantuannya menemukan kami dengan Qalb Tarim, habib Abdullah bin Shihab.

Di rumah habib Abdullah bin Syihab.
 
Ya Allah. Jadikanlah kami dan zuriat kami dari kalangan orang yang dibangkitkan bersama para solehin.Dan peliharalah hati kami dari memiliki buruk sangka terhadap orang yang Engkau kasihi.
Khabarnya sekarang habib Abdullah masih lagi meneruskan khidmatnya dalam menyampaikan ilmu di masjid-masjid sekitar Tarim meskipun dalam keadaan yang agak uzur. Jadi seandainya sesiapa berkesempatan ke bumi Tarim  usahakanlah untuk mendapatkan doa dari beliau. Tak kenal maka tak cinta. Sekali anda mengenali , kerinduan untuk kembali menghampiri akan kekal disanubari. Ya Tarim Wa Ahlaha! 

Monday, 31 March 2014

Ahli Tarim dan keistimewaannya

al-allamah Habib Salim as-Syatiri antara ulama terkenal dari Tarim






Dalam catatan terdahulu kita telah bercerita mengapa Tarim mendapat keistimewaan tersendiri dan doa khusus dari Saidina Abu Bakar as-Siddiq.Juga dengan maksud hadis Nabi yang secara amnya menyifatkan tentang keistimewaan sifat lunak hati ahli Yaman. Semua itu dapat kami selami sewaktu bermukim di daerah ini.

Ketika catatan ini diteruskan , Malaysia sedang bersedih dengan kehilangan misteri pesawat MAS  MH 370 . Semoga Allah mempermudahkan jalan keluarnya. Dan Alhamdulillah , ada pihak yang menganjurkan solat hajat dan doa, juga dengan selawat mega di Putrajaya yang di pimpin Habib Syeikh bin Abdul Qadir serta habib Ali Zainal Abidin al- Hamid . Di sana terpancar keikhlasan hati yang tiada bandingnya dari ahli bait nabi Muhammad sallallaalaihiwasallam.Juga turut sebaris dengan Habib Ali pada malam itu ialah habib Abdur Rahman bin habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafizd. Keikhlasan dalam doa mereka mengalir dari hati dan darah daging yang telah mendapat keberkatan doa as-Siddiq. Kerana itu mereka begitu istimewa bahkan menjadi lebih istimewa kerana mereka ahli bait Nabi sallAllahalaihiwasallam dan mereka orang-orang yang berilmu dan menyanjungi sunnah-sunnah baginda. Amatlah malang bila ada yang mempertikaikan insan-insan mulia ini tanpa menyelami susur galur peribadi mereka. Semoga kita sentiasa dalam bimbingan-Nya.

"HABIB" adalah satu gelaran yang diberikan oleh penduduk Hadhramaut kepada ahli bait Rasulullah yang berilmu, disegani dan dihormati ramai.Jadi tidak timbul soal negatif pada gelaran 'habib' ini. Biasanya di Tarim seorang ahli bait yang masih muda tidak dipanggil "habib". Cuma sekadar panggilan 'Syed' sebagai menghormati nasab mereka yang mulia.Jadi gelaran Habib amat tinggi nilainya.Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara lidah kita dari suka merendahkan orang lain.Biasanya ahli bait nabi yang disegani , mempunyai susur-galur nasab tersendiri yang disimpan. Dan ada dikalangan mereka yang ahli tentang keturunan ini. Seandainya tedapat sebarang dakwaan yang tidak benar tentang nisbah pada sesuatu keturunan, biasanya pembohongan itu  tidak akan berpanjangan.  Ia pernah berlaku di Tarim. Seorang pelajar dari nusantara meletakkan nama Syed al-Habsye sebagai nisbah kepada keturunan ahli bait yang terkenal. Namun yang salah tu tidak akan kekal lama. Dia kemudian dipanggil berjumpa Habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Hafizd untuk menerangkan susur-galur keluarganya dan ternyata gagal. Nasab nabi yang mulia sentiasa terpelihara.
Seandainya kita memandang sesuatu yang kurang enak pada mereka , sebagaimana juga pada insan lain, tugas kita adalah membetulkan dengan penuh hikmah dan mendoakan jika tidak mampu. Tapi awas! Jangan sesekali mencela.Bimbang ia akan membawa kepada pengakhiran hidup yang tidak baik. Nauzubillah.
 
Tarim di kenali dengan kota para wali. Hadir ke sana akan mendekatkan kita dengan cerita-cerita aulia dan orang-orang soleh. Jesteru,  seandainya memasang keinginan untuk ke kota Tarim, hadirlah dengan hati yang penuh rasa rendah diri. Meskipun kita seorang yang telah mencapai gelaran yang tinggi dalam bidang ilmu di universiti. Kerana andai kita hadir dengan dada yang bagai gelas yang telah penuh, tentu ia tidak dapat mengisi apa-apa lagi. Tapi sekiranya hadir dengan dada umpama gelas kosong , sebagai tanda tawadduk  , pasti banyak manfaat dapat kita perolehi.Sentiasalah berbaik sangka dengan orang-orang yang kita jumpa kerana kita tidak tahu diantara kita siapa yang lebih mulia kedudukkannya disisi Allah.

Kehidupan ilmu , amal dan warak para wali telah membentuk masyarakat disini kuat dengan agama dan berpegang teguh dengan sunnah-sunnah Rasulullah. Kita tidak akan bertemu dengan wanita yang tidak berhijab disini. Bahkan kaum hawa yang bekerja diladang dan kebun-kebun sayur akan tetap kelihatan berjubah hitam dan berniqab. Kalau ada yang tidak menutup aurat sekalipun ia mungkin pelancong bukan Islam  dari luar negara.Selain itu kenduri - kendaranya tidak ada ikhtilat diantara lelaki dan perempuan.Bahkan seorang teman kami dari sweden yang pernah belajar di negara timur tengah yang lain menyifatkan majlis perkahwinan di Tarim penuh sopan berbanding tempat dia belajar dahulu.

Setiap kali azan berkumandang dari masjid-masjidnya yang berjumlah ratusan buah masjid, maka kedai-kedai akan ditutup seketika.Bahkan kedai menjual barang kemas pun sekadar ditutup sebelah pintu sahaja tanpa ada rasa bimbang dan penjualnya akan pergi menunaikan solat berjemaah di masjid yang berdekatan. Jiran kami, Karamah Ba-Khamis seorang yang berkebolehan memperbaiki telivision dan radio bukan saja bertindak sebagai penjaga masjid Alawi Samin yang terletak berdekatan rumahnya,  juga sebagai muazzin setiap kali tibanya waktu solat. Kerjanya akan ditangguhkan seketika dan solat waktu dikerjakan berjemaah tepat pada waktunya. Kaum hawa, meskipun tidak ada tempat khusus di masjid-masjid sekitar Tarim tapi amat menitik beratkan solat berjemaah dirumah.Pernah suatu hari,Iman anak gadis Karamah berusia kira-kira 10 tahun ketika itu , baru pulang dari sekolah dan belum menunaikan solat zohor, sebaik sahaja berwudu' lantas dia bertanya dengan suara nyaring "Ada sesiapa yang belum solat ? Saya ingin berjamaah bersama-sama". Begitu satu contoh penekanan solat berjemaah yang sudah tertanam dalam jiwa ahli Tarim sejak kecil.

Siwak, satu sunnah Rasulullah yang tidak asing lagi. Tapi tidak ramai yang mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh, apalagi diamalkan secara beramai-ramai. Di Tarim, anda tidak akan sunyi melihat seorang anak lelaki yang masih disekolah rendah bersiwak dengan kayu Arak sebelum mengangkat takbiratul ihram dan memasukkan semula siwak kedalam kocek bajunya. MasyaAllah! Ia suatu pemandangan comel yang cukup luar biasa. Dan bagi orang-orang dewasa ia suatu perkara biasa. Sabda Nabi" Kalaulah tidak menjadi keberatan keatas ummatku, akan aku perintahkan untuk mereka bersiwak setiap kali solat:" Bagi kaum hawa pula , mereka tanpa ada rasa malu akan mengikat kayu siwak pada tali pengikat telekung.Allahummasalliwasallim alaih. Dari mana datangnya penghayatan amalan sunnah sebegini kalau bukan dari para ulama yang sentiasa memperingatkan dan mengamalkannya.

Bercerita tentang para ulama , terlalu luas untuk  dicoretkan. Serba ringkasnya, bumi Tarim dimuliakan dengan kehadiran sahabat nabi yang mulia Ubbad bin Bisyir r.a  Dari situlah bermulanya perkembangan ilmu. Seterusnya  adalah kehadiran Imam Muhajir ilaAllah Ahmad bin Isa an-Naqib bin Muhammad an-Naqib bin Ali al-Uraidhi bin Ja'afar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-imam Hussain bin Ali bin Abi Talib  ke Hadhramaut bersama-sama rombongannya pada tahun 317 h telah menyuburkan lagi perkembangan ilmu disana  amnya dan di Tarim khasnya. Perjalanan panjang Imam Muhajir dari Basrah , Madinah dan Makkah seterusnya Hajrain dan  berakhir di Husayyisah , satu perkampungan yang jauh di Hadhramaut memberikan tambah nilai kepada bumi Tarim, apabila zuriat Imam Muhajir yang mulia telah berpindah kesana dan meneruskan kesinambungan ilmu yang diasaskan oleh anak cucu sahabat nabi  SallAllahualaihiwasallam.

Tarim, diberikan gelaran al-Ghanna' kerana ia telah menjadi tempat penetapan zuriat yang mulia ini. Sehinggakan mazhab muktazilah yang ketika itu menguasai Hadhramaut menjadi lumpuh sejak kehadiran Imam Muhajir yang berpegang dengan mazhab Syafie.

Al-Faqeh Muqaddam yang lahir di Tarim tahun 574h meneruskan kesinambungan ilmu dan warak dari zuriat Imam Muhajir. Beliau yang bernama Muhammad bin Ali ba Alawi merupakan pengasas kepada Tariqat ba Alawi . Sementara al-Imam Eidrus al-akbar Abdullah bin Abu Bakar dan saudaranya Syekh Ali bin Abu Bakar memperluaskan perkembangan ilmu dengan pelbagai bentuk karangan(864h -892h). Dari masa kesemasa telah lahir rijal yang mempunyai berbagai kelebihan dalam bidang ilmu dan berbeza diantara satu sama lain.Antaranya ialah  Syeikh al-Qutb Abdur-Rahman as-Saggaf (819h) yang digelar dengan Muqaddam2 juga anaknya al-Imam al-Ghaus Omar Mihdhar (Muhdhar)(833h) . Begitu juga dengan al-Qutb Eidrus Abdullah bin Abu Bakar dan anaknya Abu Bakar al-Adeni(914h) . Antara lain yang terkenal  dengan ilmu dan warak dari silsilah ini ialah Syeikh Abu Bakar bin Salim (992h) dan Syeikh Omar bin Abdurrahman al-Attas (1072h). Kemuncak kegemilangan zuriat ini adalah dengan kelahiran al-Imam syeikhul Islam Qutb da'wah wal- Irsyad Abdullah bin Alawi al-Haddad. (1132h). Kelebihannya dalam berdakwah dengan tulisan dan lisan telah meluaskan lagi perkembangan ilmu dan dakwah , bukan sekadar pada masa itu sahaja bahkan karangan-karangan imam al-Haddad telahpun digunakan sebagai rujukan di timur dan barat. Murid-murid beliau juga berjaya menjadi pendakwah dan pengarang-pengarang kitab yang berkaliber dan disegani. 

Kehidupan ilmu di Tarim


(Sebelum meneruskan catatan kami memohon maaf sekiranya terdapat sebarang percanggahan fakta. Dan kami bersedia menerima sebarang komen berkenaan tulisan di blog al-Ghannak ini.)


Kehidupan ilmu di Tarim sangat luas. Meskipun pernah mengalami zaman suram ketika peperangan saudara yang menyebabkan Yaman selatan dikuasai pemimpin berfahaman Komunis(hingga melarang sebarang pengajian ilmu, pusat-pusat pengajian ditutup dan ulama ditangkap) namun  kini kehidupan berilmu  semakin bercambah mekar.Bagi mereka yang baru pulang dari Hadhramaut  menyifatkan tempat-tempat pengajian ilmu kini semakin hari semakin tumbuh subur bagai cendawan selepas hujan.

Ketika kami hadir keTarim (2001) , terdapat 3 pusat pengajian ilmu yang yang menjadi pilihan utama penuntut dari pelbagai negara . Ribat  Tarim , Darul Mustafa dan kulliah syar'iah Jamiah al-Ahkhaf.  Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Ribat dengan ilmu serta pengalamannya . Kerana ia telahpun dibuka sejak tahun 1304 hijrah, Darul Mustafa dengan ilmu dan persekitaran pembangunan yang lebih moden. dan Jamiah al-Ahkhaf  menggunakan kaedah universiti.Tapi tetap mempelajari kitab-kitab turath dan pensyarah-pensyarahnya merupakan ulama-ulama besar di Tarim .Pada tahun 2001 cuma terdapat seorang pelajar Malaysia di Jamiah Ahkhaf.

Hasrat awal adalah untuk menimba ilmu di Ribat. Namun atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan kami memilih untuk menjadi ahli Darul Mustafa untuk tahun yang pertama pengajian. Ia sebenarnya penuh hikmah . Keadaan ini memberi peluang untuk kami mengenali suasana pengajian di Darul Mustafa dan bergaul dengan kejiranan sekitar Raudhah. Pengajian yang bermula pada bulan Muharram ditempuh dengan rasa syukur yang tak terhingga. Bagi yang belum berkeluarga dan tinggal di Darul Mustaffa , kehidupan harian bermula seawal setengah jam atau satu jam sebelum subuh dengan aktiviti solat malam diikuti bacaan aurad  yang disusun oleh al-Allamah habib Omar bin Hafiz melalui kitab Khulasatul-madad an-Nabawi fi aurad ali ba-Alawi.Semua aurad di dalam kitab kecil ini adalah merangkumi kehidupan seharian. Dari sebelum subuh hinggalah selepas Isyak.

Sementara pengajian kitab pada waktu itu bermula selepas dhuha  dengan  para penuntut  belajar dalam bentuk halaqah dengan guru masing-masing dalam Musalla Ahlul -Kisa' di darul Mustafa.

Adapun selepas Zohor adalah halaqah al-Quran manakala selepas asar merupakan pengajian umumi yang disebut rauhah . Pembacaan kitab Ainiah ( yang berupa syair karangan al-imam al-qutb habib Abdullah bin Alawi al-Haddad dan di huraikan oleh murid beliau al-habib al-allamah Ahmad bin Zain al-Habsyi)   oleh Habib Omar bin Hafiz menjadi rutin selepas asar ketika itu.-Kitab Ainiah adalah merupakan sebuah biografi ringkas ahli bait nabi , sahabat juga lain-lain para ulama dalam bentuk syair panjang yang setiap akhir baitnya diakhiri dengan huruf 'Ain'.-  Masa senggang antara pengajian dan aurad sebelum Maghrib diisi dengan pelbagai aktiviti peribadi. Sementara selepas Maghrib, musalla kembali gamat dengan halaqah pengajian.Inilah serba ringkas kehidupan ilmu di Darul Mustafa. Namun ia adalah merupakan jadual pengajian am yang bermula sabtu hingga rabu.Manakala hari khamis dan Jummat adalah hari cuti. Antara aktiviti lain ialah bacaan burdah pada selepas asar hari isnin, Maulid pada malam Jumaat ,  hadir maulid masjid Surur pada malam Isnin dan beberapa aktiviti lain mengikut taqwim bulan-bulan hijrah.InsyAllah akan kami sebutkan pelbagai aktiviti adat dan ilmu daerah istimewa ini berdasarkan Kalendar Hijri kelak.

 
(Satu pengiktirafan dari media terhadap Darul Mustafa)

Pelajar Darul Mustafa terdiri dari berbagai warna kulit. Dari Asia  seperti Indonesia(sudah tentu mereka yang paling ramai), Malaysia , Singapura, Thailand dan juga dari Eropah seperti muslim Amerika, Britan juga Sweden.Ketika kami di sana terdapat bebarapa orang sahabat yang berasal dari Lubnan tetapi menjadi pemastautin Australia. Sementara yang pelajar yang datang dari benua Afrika ada yang berasal dari Kenya, Tanzania , Mesir dan lain-lain kepulauan.


Habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafizd



































Sejarah Ringkas Darul Mustafa.
(Sumber http//www.oocities.org/ibnusyam_travel/darul_mustafa.htm)

  Sebelum didirikan Dar Mustafa yang ada sekarang , pelajar terdahulu tinggal di Ribat al-Mustafa di kota Syihir kemudian mereka berpindah ke Tarim dan tinggal di kamar-kamar masjid dan rumah Assana serta tempat mereka belajar adalah di masjid Maula Aidied. Ia diasaskan bersama oleh al-habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin hafidz dan saudaranya al-habib Omar bin Muhammad bin Salim bin hafidz.

Di sebutkan bahawa al-Habib Ali zainal Abidin al-Hamid, Habib Jindan dan al-habib Ali al-Jufri merupakan antara generasi awal  yang mendapat bimbingan dari Habib Omar dan Habib Ali Masyhur sendiri.Setelah bangunan baru Darul Mustafa  di Raudhah siap di bina , bangunan lama Darul Mustafa menjadi penempatan pelajar perempuan dipanggil Darul Zahra' yang kemudiannya turut berpindah ke bangunan baru yang lebih cantik dan luas pada tahun 2002 juga di kawasan Raudhah.


Habib Omar bin hafizd
Pembangunan Darul Mustafa dimulai pada  bulan Syawal tahun 1410H dan perasmian pertama adalah pada hari selasa 29 zulhijjah 1411H bertepatan pada hari  al-habib Muhammad bin salim bin Hafidz dibawa  pergi oleh komunis pada waktu itu (ikuti kisahnya di Wikipedia Habib Omar bin Hafidz)  dan perasmian kedua adalah pada Muharram 1417 H. Maka pada setiap kali datangnya  bulan Muharram satu ihtifal akan diadakan dengan pembacaan Maulid karangan habib Muhammamd bin salim bin Hafizd sendiri . Ramai para ilmuan dijemput untuk menghadiri majlis ini. Dan sudah tentu hidangan Ruz hadhrami yang terkenal itu tak dilupakan.

Asas pengajian ilmu di  Darul Mustafa adalah terletak pada 3 perkara utama ;

1. Penguasaan ilmu Islam secara murni(ilmu)
2.Pembersihan jiwa dan pemurnian akidah(suluk)
3. Da'wah ke jalan Allah.(da'wah)

Jadi bagi pelajar Darul Mustafa , mereka berpeluang untuk keluar berda'wah disekitar Hadhramaut atau ke sesuatu kawasan yang telah diaturkan oleh pihak pentabdbiran. Di samping bergaul dengan masyarakat dan menyampaikan apa yang dipelajari , ia sedikit sebanyak membantu pelajar memahami budaya setempat dan meluaskan penguasaan bahasa.


Habib Ali al-Jufri.


Semoga paparan kali ini memberikan manfaat kepada pencinta ilmu dan ahli bait Rasulullah sallaAllahualaihiwasallam.