Masih lagi dengan catatan di sekitar Raudhah. Sebuah kampung baru di pinggir Tarim yang terletaknya tempat pengajian Darul Mustafa juga masjid Raudhah. Khabarnya sekarang Raudhah telahpun dipenuhi dengan penduduk dari pelbagai negara kesan dari wujudnya Darul Mustafa di bawah pimpinan habib Omar bin Hafidz dan abangnya habib Ali Masyhur. Suasana yang dulu agak sepi sekarang semakin meriah dan sudah tentu terdapat kenaikkan berganda harga rumah untuk disewa.
Kawasan kejiranan Raudhah yang masih baru ketika itu. Kelihatan menara masjid Raudhah (gambar dari atas suthuh-bumbung rumah. ) . |
Apa yang ingin dikongsikan kali ini adalah berkenaan sebuah cerita yang berlaku ketika mula-mula mendiami rumah sewaan ar-Ribaki di Raudhah. Suasana yang sunyi dan jauh dari orang ramai ketika itu menjadikan pinggiran Raudhah singgahan anjing-anjing liar yang mungkin tinggal di kaki-kaki bukitnya. Sampah-sarap yang ada sering menjadi jamahan dan buruan anjing yang kelaparan. Lebih- lebih lagi pada waktu malam. Lolongan dan teriakkan anjing-anjing yang berkeliaran di luar rumah sering mengganggu tidur. Hinggalah pada suatu malam, kerana tidak tahan dengan lolongan anjing yang mengganggu, Abu Muhammad keluar dan mengejar anjing yang membuat bising. Rupanya lolongan yang mengganggu itu dari sekumpulan anjing termasuk seekor anjing putih. Dek kerana takut dikejar, anjing-anjing itu pun berlari jauh namun si anjing putih masih tetap menoleh kebelakang melihat manusia yang cuba menakutkannya. Malam itu keadaan tenang seketika bila tiada lagi lolongan anjing yang mengganggu tidur.
Pada malam berikutnya, kami terdengar suatu bunyi dihadapan pintu rumah. Sebaik sahaja pintu dibuka, rupa-rupanya si anjing putih yang di kejar semalam sedang mencapai sebelah kasut Abu Muhammad dengan mulutnya dan segera membawa lari! Biarpun dikejar Abu Muhammad yang berkaki ayam, namun si Putih tetap tidak melepaskan kasut yang digonggongnya hinggalah ia ditelan kegelapan malam dan Abu Muhammad terpaksa pulang dengan berkaki ayam serta redha dengan kasutnya yang berbaki sebelah sahaja. Begitulah dendam seekor anjing yang kembali mencari meskipun sekadar sebelah kasut. Walaupun kisah ini sekadar kisah yang melucukan tapi ia memberikan pengajaran yang bermakna. Sebenarnya masyarakat arab tidak sesekali meletakkan kasut diluar rumah. Selain untuk mengelakkan dari diambil oleh orang lain ia juga sebagai satu cara untuk mengelakkan orang yang lalu lalang dari mengetahui jumlah penghuni rumah samaada lelaki atau perempuan. Ia juga adalah sebagai satu adab dan adat. Pada awal kehadiran kami ke Tarim memang kasut kami letakkan dihadapan pintu rumah sebagaimana di Malaysia. Namun semenjak dari peristiwa sebelah kasut Abu Muhammad dicuri si anjing putih, kami tidak lagi meletakkan sebarang kasut diluar rumah.
Dimanapun kita berada , mengambil ibrah dari setiap peristiwa yang berlaku akan memberikan manfaat buat kita.
No comments:
Post a Comment