Wednesday 17 November 2021

Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari an-Nadwi Al-Maliki Rahimahullah. Seorang murabbi dalam ingatan.

20 hari pemergian Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari an-Nadwi Al-Maliki Rahimahullah .

Beberapa hari selepas pemergian Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahullah (23 Rabiulawal 1443/30 Oktober 2021) kita mendengar juga tentang  pemergian beberapa ahli ilmu. Berturut-turut dalam jarak waktu yang sangat dekat. 
Namun bila membaca Al-Quran kita akan tahu jawapan. Al-Quran sentiasa ada jawapannya. 

ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَٱلَّتِى لَمْ تَمُتْ فِى مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيْهَا ٱلْمَوْتَ وَيُرْسِلُ ٱلْأُخْرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan 
Allah bagi kaum yang berfikir. 
Surah az-Zumar ayat 42

---------------------------

وَسِيقَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ إِلَى ٱلْجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَٰبُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَٰمٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَٱدْخُلُوهَا خَٰلِدِينَ
Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan dibawa ke dalam surga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke surga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! maka masukilah surga ini, sedang kamu kekal di dalamnya".
Surah az-Zumar ayat 73.
----------------------

Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahullah adalah guru kami di Maahad Tarbiah Islamiah Derang(Mtid). Dari peringkat Thanawi hingga lah menjadi generasi pertama Al-Maahadul Ali Littafaqquh Fiddin. Dengan bimbingan Syeikh Nuruddin Al-Banjari hafizahullah, Syeikh Niamat Yusuf ,Syeikh Abu Bakar Awang dan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahumullah , saat-saat pengajian di Tafaqquh adalah saat yang sangat berharga.  Dulu Tafaqquh kami sebut sebagai(Al-Muttaqin) sekarang adalah (Maltaf). 

Pemergian Syeikh tentu saja memberikan kesan yang mendalam buat sesiapa saja yang pernah menjadi murid beliau. Berikut saya kongsikan beberapa ibrah dan hikmah dari kehidupan seorang guru yang dikasihi.

#Yang paling utama adalah Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahullah menyemai rasa cinta kepada Rasulullah menerusi pembacaan Burdah yang menjadi kewajipan anak-anak Mtid pada setiap  Isnin. Beliau menterjemahkan qasidah Burdah karangan Imam al-Bushiri Rahimahullah supaya kita dapat menghayati makna sebenar syair tersebut.
Juga pengajaran kitab Syamail Muhammadiyah ,mengenali keperibadian baginda Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam secara mendalam di Tafaqquh.
Alhamdulillah kami baca hingga khatam. Suatu niamat yang sangat besar.

#Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam merupakan guru pelajaran Tarikh Islami atau sejarah Islam di Thanawi Mtid . Cara pengajaran beliau seolah membawa pelajar kembali ke zaman sejarah yang kita pelajari. Sebagai contoh, zaman kejatuhan Baghdad ditangan bangsa Moghol , Zaman Harun- arRashid  dan sebagainya akan membuatkan pelajar kekal mencintai Sejarah zaman kegemilangan Islam. 

#Sewaktu di Mtid Syeikh mengkhususkan satu hari untuk mengajar kepada kaum muslimat sebagaimana Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam pernah mengkhususkan suatu waktu Baginda untuk kaum wanita. Syeikh mengajarkan kitab Muhimmah untuk muslimah perkampungan Derang. 

#Ketika berada di Thanawi 6 Mtid Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahullah adalah guru kelas kami. Menjadi tradisi anak-anak Mtid , Thanawi 6 akan mengumpulkan dana dari awal tahun untuk mengadakan kenduri meraikan guru-guru dan kakitangan Maahad . Ia juga adalah sebagai tanda mengakhiri marhalah Thanawi. Pelajar Thanawi 6 juga akan menyediakan cenderahati untuk guru-guru yang pernah mengajar sejak dari awal. 
Syeikh Ahmad Fahmi seorang yang sangat menjaga adab-adab dalam pergaulan. Beliau tidak mahu berlaku sebarang ikhtilat diantara pelajar banin (lelaki) dan banat (Perempuan). Dan tidak mahu jika terdengar sebarang cakap-cakap yang tidak baik tentang pelajarnya . Lantas beliau mengambil keputusan untuk mengadakan kenduri akhir tahun kelas kami di rumah beliau sendiri. Pelajar Banat berada dibahagian atas rumah beliau bersama ahli keluarga dan guru-guru muslimat dan pelajar banin berada ditingkat bawah bersama Syeikh dan guru-guru muslimin. Kami di tingkat atas dapat mendengar Tausiyah dan nasihat dari beliau melalui alat pembesar suara yang memang telah sedia terpasang. Syeikh menanggung keseluruhan kos kenduri dan kami cuma menggunakan wang dana untuk cenderahati buat guru-guru. 
  رحم الله شيخنا رحمة واسعا

# Kalam Syeikh Ahmad Fahmi Rahimahullah yang akan selalu diingati ialah "Tidak ada yang namanya bekas murid kerana murid itu selama-lamanya murid"
Kerana itu persatuan pelajar lama Mtid tidak disebut sebagai persatuan bekas murid tapi disebut sebagai Alumni MtiD.

#Sewaktu di Tafaqquh, Syeikh Ahmad Fahmi Rahimahullah ada meminta kami mengarang Biografi tokoh. Ada pelajar yang meminta pandangan Syeikh sekiranya dia mengarang Biografi seorang tokoh yang masih lagi hidup ketika itu. Pada pandangan Syeikh adalah lebih baik sekiranya karangan biografi dibuat untuk orang yang telah tiada. Supaya tiada timbul perasaan yang kurang baik pada individu tersebut dan sebagainya. 

#Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahullah sangat menggalakan pelajar mempelajari dengan baik bahasa ibunda masing-masing. Kerana ia adalah wadah untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat dengan berkesan. Sebagai contoh, bahasa melayu mempunyai keindahan tersendiri dengan peribahasa, pantun, syair dan puisi yang indah. Jadi ia menjadi satu nilai tambah bagi pendakwah yang dapat mengusai kesenian bahasa untuk menyampaikan ilmu dan menarik minat masyarakat. 
(Syeikh telah mengarang  syair panjang bertajuk " Syair wasiat akhir zaman" dan pernah di keluarkan dalam bentuk kaset nasyid)

#MtiD telah diasaskan dan dibangunkan bersama oleh para guru yang berjiwa besar. Antaranya Syeikh Niamat Yusuf , Syeikh Abu Bakar Awang dan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahumullah. 
Semoga Allah sentiasa memelihara dan memberkati bumi Maahad Tarbiah Islamiah Derang.
 Dan semoga ilmu yang disampaikan kepada murid-murid Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Rahimahullah menjadi ilmu yang bermanfaat dunia dan akhirat.