Disamping pengajian yang baru bermula, kesempatan yang ada diisi dengan mempelajari lahjah ahli Tarim dengan banyak berbual bersama ahli kejiranan Raudhah yang ketika itu masih boleh dikira dengan jari sahaja bilangannya. Sejenak mengenali ustaz Syed Ali, tuan punya kedai kecil di pinggir jalan Raudhah. Seorang yang sangat sederhana sekali. Namun dia merupakan pelajar lama yang pernah menuntut di Ribat Tarim dan menjadi tenaga pengajar Jamiah Ahgaf .Sesekali berkunjung ke kedainya kelihatan dia meluangkan masa yang terluang dengan membaca kitab-kitab sambil menunggu pelanggan datang.Sikap ramah -tamahnya menambahkan lagi rasa senang hati setiap pelanggan yang hadir kekedainya. Seperti masyarakat arab yang lain lidah mereka tidak lekang dari sentiasa mendoakan orang lain. Moga Allah mudahkan urusanmu, Moga Allah sentiasa membimbing mu, itulah antara ungkapan biasa yang sering kita dengar dari lidah mereka.
Di hadapan rumah kami adalah rumah keluarga Saleh Bahbuh.Mampunyai beberapa orang anak gadis. Namun rumah tersebut belum mereka tempati sepenuhnya memandangkan mereka masih tinggal dirumah keluarga Saleh Bahbuh di Khalif. Pinggir pekan Tarim. Menjadi adat masyarakat disana biasanya seorang gadis yang telah berkahwin akan tinggal bersama keluarga lelaki sehinggalah berkemampuan untuk mempunyai rumah sendiri.Rumah baru Saleh ini dua tingkat. Luas dan selesa untuk anak-anak dan menantunya. Meskipun sekadar seminggu sekali mereka bertandang kerumah tersebut, sikap lunak hati mereka cukup terasa bila anak-anak gadisnya tidak segan bertandang untuk bertanya khabar Ummu Muhammad dan sesekali mengundang kami makan tengahari dirumah mereka . Bila bahang kepanasan tanah Hadhramaut mula terasa, mereka dengan senang hati menawarkan ketulan-ketulan ais memandangkan kami masih belum memiliki peti sejuk ketika awal kehadiran disana. Rupanya dengan dengan keadaan cuaca yang panas kering mencapai 40 darjah telah menjadikan masyarakat disini begitu tegar dengan minuman sejuk. Di setiap rumah pasti disediakan tong air berais buat penghilang dahaga.Dan di masjid - masjid tersedia air sabil dari peti sejuk khas untuk sesiapa sahaja. Berkah airnya melimpah ruah. Doa as-Siddiq jelas di maqbul Allah. Sumber airnya adalah dari telaga bawah tanah. Meskipun dengan hujan setahun sekali dua sahaja tapi tak pernah kami mengalami masaalah kekurangan atau catuan air.Walaupun bagi mereka yang tinggal di rumah yang bertingkat-tingkat.
Suhaila, seorang ibu yang mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil, Mahfoz dan Abdullah diperkenalkan kepada Ummu muhammad oleh anak-anak gadis Saleh Bahbuh.Dia yang tinggal tidak jauh dari rumah kami dengan senang hati menawarkan khidmat kepada Ummu Muhammad seandainya ada sebarang keperluan setelah kelahiran nanti. Barakallah pada ahli Tarim yang membuat kami merasa selesa dan disenangi.
Alhamdulillah , pada 14 muharram kami menyambut kelahiran pertama di hospital Majma wadi Seyun.Pada 14 Muharram juga masyarakat Hadramaut meraikan tarikh sampainya Imam Muhajir ke bumi mereka.Jesteru ketika pulang dari Majma' wadi dapat kami saksikan mereka berkumpul di Husayyisah tempat Imam Muhajir dimakamkan. Terima kasih pada sahabat-sahabat yang membantu memudahkan urusan terutama Ustaz Azhar dan keluarga. Meskipun menyambut kelahiran dalam keadaan jauh dari sanak saudara , ada ujian dan kesulitan yang dihadapi, namun Allah jualah yang melebarkan rahmat dan kasih sayang-Nya dengan memberi izin hamba-hamba-Nya yang beriman untuk saling bantu-membantu. Ummu Habibah , jiran dari mesir menawarkan untuk menghantar makan tengahari secara bergilir-gilir dengan keluarga pelajar-pelajar asing yang belajar di Dar Mustafa. Alhamdulillah, selama 2 minggu makan tengahari kami berbagai rasa. Mesir, Britan, Pakistan ,Amarika dan lain-lain. Sementara pada waktu pagi Mahfuz dan adiknya Abdullah mengetuk pintu menghantar "Heif"(roti dari tepung bur dengan sedikit garam dan samin ditabur habbah sauda') atau "Brauthah". (seperti roti canai tapi ditambah habbah sauda' pada adunannya). Sesekali bayi kecil kami diziarahi wanita-wanita Tarim dan ahli pengajian Dar mustafa yang mendapat tahu tentang kelahiran ini. Juga perihatin dari seorang warga Indonesia, bibik Ruminah yang berkhidmat di rumah habib Omar bin hafizd ketika itu amat kami hargai. Berbagai nasihat dan panduan yang diberikannya begitu bermakna sekali apalagi dari rumpun nusantara yang sama.Ya Allah,rahmat-Mu melewati segala sesuatu.
Roti Heif(gambar , sumber FB) |
Setelah beberapa hari kelahiran, kami bercadang untuk mentahnikkan si kecil. Namun ketika itu habib Omar telahpun bermusafir ke Malaysia . Jadi habib Ali bin Abu Bakar dan Syeikh Khalid dari Iraq (tenaga pengajar Darul Mustafa) menjadi pengganti habib Omar bin Hafizd.
Semoga Allah sentiasa memberkati perjalanan hidup kita.
Dalam suasana yang serba sederhana bayi kecil ditahnik habib Ali bin Abu Bakar dan Syeikh Khalid. |
Tiada ungkapan yang dapat diucapkan bila jemputan untuk mentahnik anak, di penuhi oleh dua orang guru yang disegani ini dengan senang hati. Barakallah fikum wafi ahlikum.Apa yang diharapkan ialah tujuan untuk menjunjung sunnah nabi dengan mentahnik anak kepada orang-orang yang soleh dan mendapat kebaikkan dari mereka akan tercapai.
Beberapa hari setelah itu , seorang teman, Muhammad al-Haddad mengusulkan untuk membawa anak kecil kami bertemu seorang yang istimewa di Tarim . Peluang yang ada tidak akan disis-siakan.
Barakallah fik Muhammad kerana bantuannya menemukan kami dengan Qalb Tarim, habib Abdullah bin Shihab.
Di rumah habib Abdullah bin Syihab. |
Ya Allah. Jadikanlah kami dan zuriat kami dari kalangan orang yang dibangkitkan bersama para solehin.Dan peliharalah hati kami dari memiliki buruk sangka terhadap orang yang Engkau kasihi.
Khabarnya sekarang habib Abdullah masih lagi meneruskan khidmatnya dalam menyampaikan ilmu di masjid-masjid sekitar Tarim meskipun dalam keadaan yang agak uzur. Jadi seandainya sesiapa berkesempatan ke bumi Tarim usahakanlah untuk mendapatkan doa dari beliau. Tak kenal maka tak cinta. Sekali anda mengenali , kerinduan untuk kembali menghampiri akan kekal disanubari. Ya Tarim Wa Ahlaha!
No comments:
Post a Comment