Monday 31 March 2014

Ahli Tarim dan keistimewaannya

al-allamah Habib Salim as-Syatiri antara ulama terkenal dari Tarim






Dalam catatan terdahulu kita telah bercerita mengapa Tarim mendapat keistimewaan tersendiri dan doa khusus dari Saidina Abu Bakar as-Siddiq.Juga dengan maksud hadis Nabi yang secara amnya menyifatkan tentang keistimewaan sifat lunak hati ahli Yaman. Semua itu dapat kami selami sewaktu bermukim di daerah ini.

Ketika catatan ini diteruskan , Malaysia sedang bersedih dengan kehilangan misteri pesawat MAS  MH 370 . Semoga Allah mempermudahkan jalan keluarnya. Dan Alhamdulillah , ada pihak yang menganjurkan solat hajat dan doa, juga dengan selawat mega di Putrajaya yang di pimpin Habib Syeikh bin Abdul Qadir serta habib Ali Zainal Abidin al- Hamid . Di sana terpancar keikhlasan hati yang tiada bandingnya dari ahli bait nabi Muhammad sallallaalaihiwasallam.Juga turut sebaris dengan Habib Ali pada malam itu ialah habib Abdur Rahman bin habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafizd. Keikhlasan dalam doa mereka mengalir dari hati dan darah daging yang telah mendapat keberkatan doa as-Siddiq. Kerana itu mereka begitu istimewa bahkan menjadi lebih istimewa kerana mereka ahli bait Nabi sallAllahalaihiwasallam dan mereka orang-orang yang berilmu dan menyanjungi sunnah-sunnah baginda. Amatlah malang bila ada yang mempertikaikan insan-insan mulia ini tanpa menyelami susur galur peribadi mereka. Semoga kita sentiasa dalam bimbingan-Nya.

"HABIB" adalah satu gelaran yang diberikan oleh penduduk Hadhramaut kepada ahli bait Rasulullah yang berilmu, disegani dan dihormati ramai.Jadi tidak timbul soal negatif pada gelaran 'habib' ini. Biasanya di Tarim seorang ahli bait yang masih muda tidak dipanggil "habib". Cuma sekadar panggilan 'Syed' sebagai menghormati nasab mereka yang mulia.Jadi gelaran Habib amat tinggi nilainya.Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara lidah kita dari suka merendahkan orang lain.Biasanya ahli bait nabi yang disegani , mempunyai susur-galur nasab tersendiri yang disimpan. Dan ada dikalangan mereka yang ahli tentang keturunan ini. Seandainya tedapat sebarang dakwaan yang tidak benar tentang nisbah pada sesuatu keturunan, biasanya pembohongan itu  tidak akan berpanjangan.  Ia pernah berlaku di Tarim. Seorang pelajar dari nusantara meletakkan nama Syed al-Habsye sebagai nisbah kepada keturunan ahli bait yang terkenal. Namun yang salah tu tidak akan kekal lama. Dia kemudian dipanggil berjumpa Habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Hafizd untuk menerangkan susur-galur keluarganya dan ternyata gagal. Nasab nabi yang mulia sentiasa terpelihara.
Seandainya kita memandang sesuatu yang kurang enak pada mereka , sebagaimana juga pada insan lain, tugas kita adalah membetulkan dengan penuh hikmah dan mendoakan jika tidak mampu. Tapi awas! Jangan sesekali mencela.Bimbang ia akan membawa kepada pengakhiran hidup yang tidak baik. Nauzubillah.
 
Tarim di kenali dengan kota para wali. Hadir ke sana akan mendekatkan kita dengan cerita-cerita aulia dan orang-orang soleh. Jesteru,  seandainya memasang keinginan untuk ke kota Tarim, hadirlah dengan hati yang penuh rasa rendah diri. Meskipun kita seorang yang telah mencapai gelaran yang tinggi dalam bidang ilmu di universiti. Kerana andai kita hadir dengan dada yang bagai gelas yang telah penuh, tentu ia tidak dapat mengisi apa-apa lagi. Tapi sekiranya hadir dengan dada umpama gelas kosong , sebagai tanda tawadduk  , pasti banyak manfaat dapat kita perolehi.Sentiasalah berbaik sangka dengan orang-orang yang kita jumpa kerana kita tidak tahu diantara kita siapa yang lebih mulia kedudukkannya disisi Allah.

Kehidupan ilmu , amal dan warak para wali telah membentuk masyarakat disini kuat dengan agama dan berpegang teguh dengan sunnah-sunnah Rasulullah. Kita tidak akan bertemu dengan wanita yang tidak berhijab disini. Bahkan kaum hawa yang bekerja diladang dan kebun-kebun sayur akan tetap kelihatan berjubah hitam dan berniqab. Kalau ada yang tidak menutup aurat sekalipun ia mungkin pelancong bukan Islam  dari luar negara.Selain itu kenduri - kendaranya tidak ada ikhtilat diantara lelaki dan perempuan.Bahkan seorang teman kami dari sweden yang pernah belajar di negara timur tengah yang lain menyifatkan majlis perkahwinan di Tarim penuh sopan berbanding tempat dia belajar dahulu.

Setiap kali azan berkumandang dari masjid-masjidnya yang berjumlah ratusan buah masjid, maka kedai-kedai akan ditutup seketika.Bahkan kedai menjual barang kemas pun sekadar ditutup sebelah pintu sahaja tanpa ada rasa bimbang dan penjualnya akan pergi menunaikan solat berjemaah di masjid yang berdekatan. Jiran kami, Karamah Ba-Khamis seorang yang berkebolehan memperbaiki telivision dan radio bukan saja bertindak sebagai penjaga masjid Alawi Samin yang terletak berdekatan rumahnya,  juga sebagai muazzin setiap kali tibanya waktu solat. Kerjanya akan ditangguhkan seketika dan solat waktu dikerjakan berjemaah tepat pada waktunya. Kaum hawa, meskipun tidak ada tempat khusus di masjid-masjid sekitar Tarim tapi amat menitik beratkan solat berjemaah dirumah.Pernah suatu hari,Iman anak gadis Karamah berusia kira-kira 10 tahun ketika itu , baru pulang dari sekolah dan belum menunaikan solat zohor, sebaik sahaja berwudu' lantas dia bertanya dengan suara nyaring "Ada sesiapa yang belum solat ? Saya ingin berjamaah bersama-sama". Begitu satu contoh penekanan solat berjemaah yang sudah tertanam dalam jiwa ahli Tarim sejak kecil.

Siwak, satu sunnah Rasulullah yang tidak asing lagi. Tapi tidak ramai yang mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh, apalagi diamalkan secara beramai-ramai. Di Tarim, anda tidak akan sunyi melihat seorang anak lelaki yang masih disekolah rendah bersiwak dengan kayu Arak sebelum mengangkat takbiratul ihram dan memasukkan semula siwak kedalam kocek bajunya. MasyaAllah! Ia suatu pemandangan comel yang cukup luar biasa. Dan bagi orang-orang dewasa ia suatu perkara biasa. Sabda Nabi" Kalaulah tidak menjadi keberatan keatas ummatku, akan aku perintahkan untuk mereka bersiwak setiap kali solat:" Bagi kaum hawa pula , mereka tanpa ada rasa malu akan mengikat kayu siwak pada tali pengikat telekung.Allahummasalliwasallim alaih. Dari mana datangnya penghayatan amalan sunnah sebegini kalau bukan dari para ulama yang sentiasa memperingatkan dan mengamalkannya.

Bercerita tentang para ulama , terlalu luas untuk  dicoretkan. Serba ringkasnya, bumi Tarim dimuliakan dengan kehadiran sahabat nabi yang mulia Ubbad bin Bisyir r.a  Dari situlah bermulanya perkembangan ilmu. Seterusnya  adalah kehadiran Imam Muhajir ilaAllah Ahmad bin Isa an-Naqib bin Muhammad an-Naqib bin Ali al-Uraidhi bin Ja'afar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-imam Hussain bin Ali bin Abi Talib  ke Hadhramaut bersama-sama rombongannya pada tahun 317 h telah menyuburkan lagi perkembangan ilmu disana  amnya dan di Tarim khasnya. Perjalanan panjang Imam Muhajir dari Basrah , Madinah dan Makkah seterusnya Hajrain dan  berakhir di Husayyisah , satu perkampungan yang jauh di Hadhramaut memberikan tambah nilai kepada bumi Tarim, apabila zuriat Imam Muhajir yang mulia telah berpindah kesana dan meneruskan kesinambungan ilmu yang diasaskan oleh anak cucu sahabat nabi  SallAllahualaihiwasallam.

Tarim, diberikan gelaran al-Ghanna' kerana ia telah menjadi tempat penetapan zuriat yang mulia ini. Sehinggakan mazhab muktazilah yang ketika itu menguasai Hadhramaut menjadi lumpuh sejak kehadiran Imam Muhajir yang berpegang dengan mazhab Syafie.

Al-Faqeh Muqaddam yang lahir di Tarim tahun 574h meneruskan kesinambungan ilmu dan warak dari zuriat Imam Muhajir. Beliau yang bernama Muhammad bin Ali ba Alawi merupakan pengasas kepada Tariqat ba Alawi . Sementara al-Imam Eidrus al-akbar Abdullah bin Abu Bakar dan saudaranya Syekh Ali bin Abu Bakar memperluaskan perkembangan ilmu dengan pelbagai bentuk karangan(864h -892h). Dari masa kesemasa telah lahir rijal yang mempunyai berbagai kelebihan dalam bidang ilmu dan berbeza diantara satu sama lain.Antaranya ialah  Syeikh al-Qutb Abdur-Rahman as-Saggaf (819h) yang digelar dengan Muqaddam2 juga anaknya al-Imam al-Ghaus Omar Mihdhar (Muhdhar)(833h) . Begitu juga dengan al-Qutb Eidrus Abdullah bin Abu Bakar dan anaknya Abu Bakar al-Adeni(914h) . Antara lain yang terkenal  dengan ilmu dan warak dari silsilah ini ialah Syeikh Abu Bakar bin Salim (992h) dan Syeikh Omar bin Abdurrahman al-Attas (1072h). Kemuncak kegemilangan zuriat ini adalah dengan kelahiran al-Imam syeikhul Islam Qutb da'wah wal- Irsyad Abdullah bin Alawi al-Haddad. (1132h). Kelebihannya dalam berdakwah dengan tulisan dan lisan telah meluaskan lagi perkembangan ilmu dan dakwah , bukan sekadar pada masa itu sahaja bahkan karangan-karangan imam al-Haddad telahpun digunakan sebagai rujukan di timur dan barat. Murid-murid beliau juga berjaya menjadi pendakwah dan pengarang-pengarang kitab yang berkaliber dan disegani. 

Kehidupan ilmu di Tarim


(Sebelum meneruskan catatan kami memohon maaf sekiranya terdapat sebarang percanggahan fakta. Dan kami bersedia menerima sebarang komen berkenaan tulisan di blog al-Ghannak ini.)


Kehidupan ilmu di Tarim sangat luas. Meskipun pernah mengalami zaman suram ketika peperangan saudara yang menyebabkan Yaman selatan dikuasai pemimpin berfahaman Komunis(hingga melarang sebarang pengajian ilmu, pusat-pusat pengajian ditutup dan ulama ditangkap) namun  kini kehidupan berilmu  semakin bercambah mekar.Bagi mereka yang baru pulang dari Hadhramaut  menyifatkan tempat-tempat pengajian ilmu kini semakin hari semakin tumbuh subur bagai cendawan selepas hujan.

Ketika kami hadir keTarim (2001) , terdapat 3 pusat pengajian ilmu yang yang menjadi pilihan utama penuntut dari pelbagai negara . Ribat  Tarim , Darul Mustafa dan kulliah syar'iah Jamiah al-Ahkhaf.  Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Ribat dengan ilmu serta pengalamannya . Kerana ia telahpun dibuka sejak tahun 1304 hijrah, Darul Mustafa dengan ilmu dan persekitaran pembangunan yang lebih moden. dan Jamiah al-Ahkhaf  menggunakan kaedah universiti.Tapi tetap mempelajari kitab-kitab turath dan pensyarah-pensyarahnya merupakan ulama-ulama besar di Tarim .Pada tahun 2001 cuma terdapat seorang pelajar Malaysia di Jamiah Ahkhaf.

Hasrat awal adalah untuk menimba ilmu di Ribat. Namun atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan kami memilih untuk menjadi ahli Darul Mustafa untuk tahun yang pertama pengajian. Ia sebenarnya penuh hikmah . Keadaan ini memberi peluang untuk kami mengenali suasana pengajian di Darul Mustafa dan bergaul dengan kejiranan sekitar Raudhah. Pengajian yang bermula pada bulan Muharram ditempuh dengan rasa syukur yang tak terhingga. Bagi yang belum berkeluarga dan tinggal di Darul Mustaffa , kehidupan harian bermula seawal setengah jam atau satu jam sebelum subuh dengan aktiviti solat malam diikuti bacaan aurad  yang disusun oleh al-Allamah habib Omar bin Hafiz melalui kitab Khulasatul-madad an-Nabawi fi aurad ali ba-Alawi.Semua aurad di dalam kitab kecil ini adalah merangkumi kehidupan seharian. Dari sebelum subuh hinggalah selepas Isyak.

Sementara pengajian kitab pada waktu itu bermula selepas dhuha  dengan  para penuntut  belajar dalam bentuk halaqah dengan guru masing-masing dalam Musalla Ahlul -Kisa' di darul Mustafa.

Adapun selepas Zohor adalah halaqah al-Quran manakala selepas asar merupakan pengajian umumi yang disebut rauhah . Pembacaan kitab Ainiah ( yang berupa syair karangan al-imam al-qutb habib Abdullah bin Alawi al-Haddad dan di huraikan oleh murid beliau al-habib al-allamah Ahmad bin Zain al-Habsyi)   oleh Habib Omar bin Hafiz menjadi rutin selepas asar ketika itu.-Kitab Ainiah adalah merupakan sebuah biografi ringkas ahli bait nabi , sahabat juga lain-lain para ulama dalam bentuk syair panjang yang setiap akhir baitnya diakhiri dengan huruf 'Ain'.-  Masa senggang antara pengajian dan aurad sebelum Maghrib diisi dengan pelbagai aktiviti peribadi. Sementara selepas Maghrib, musalla kembali gamat dengan halaqah pengajian.Inilah serba ringkas kehidupan ilmu di Darul Mustafa. Namun ia adalah merupakan jadual pengajian am yang bermula sabtu hingga rabu.Manakala hari khamis dan Jummat adalah hari cuti. Antara aktiviti lain ialah bacaan burdah pada selepas asar hari isnin, Maulid pada malam Jumaat ,  hadir maulid masjid Surur pada malam Isnin dan beberapa aktiviti lain mengikut taqwim bulan-bulan hijrah.InsyAllah akan kami sebutkan pelbagai aktiviti adat dan ilmu daerah istimewa ini berdasarkan Kalendar Hijri kelak.

 
(Satu pengiktirafan dari media terhadap Darul Mustafa)

Pelajar Darul Mustafa terdiri dari berbagai warna kulit. Dari Asia  seperti Indonesia(sudah tentu mereka yang paling ramai), Malaysia , Singapura, Thailand dan juga dari Eropah seperti muslim Amerika, Britan juga Sweden.Ketika kami di sana terdapat bebarapa orang sahabat yang berasal dari Lubnan tetapi menjadi pemastautin Australia. Sementara yang pelajar yang datang dari benua Afrika ada yang berasal dari Kenya, Tanzania , Mesir dan lain-lain kepulauan.


Habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafizd



































Sejarah Ringkas Darul Mustafa.
(Sumber http//www.oocities.org/ibnusyam_travel/darul_mustafa.htm)

  Sebelum didirikan Dar Mustafa yang ada sekarang , pelajar terdahulu tinggal di Ribat al-Mustafa di kota Syihir kemudian mereka berpindah ke Tarim dan tinggal di kamar-kamar masjid dan rumah Assana serta tempat mereka belajar adalah di masjid Maula Aidied. Ia diasaskan bersama oleh al-habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin hafidz dan saudaranya al-habib Omar bin Muhammad bin Salim bin hafidz.

Di sebutkan bahawa al-Habib Ali zainal Abidin al-Hamid, Habib Jindan dan al-habib Ali al-Jufri merupakan antara generasi awal  yang mendapat bimbingan dari Habib Omar dan Habib Ali Masyhur sendiri.Setelah bangunan baru Darul Mustafa  di Raudhah siap di bina , bangunan lama Darul Mustafa menjadi penempatan pelajar perempuan dipanggil Darul Zahra' yang kemudiannya turut berpindah ke bangunan baru yang lebih cantik dan luas pada tahun 2002 juga di kawasan Raudhah.


Habib Omar bin hafizd
Pembangunan Darul Mustafa dimulai pada  bulan Syawal tahun 1410H dan perasmian pertama adalah pada hari selasa 29 zulhijjah 1411H bertepatan pada hari  al-habib Muhammad bin salim bin Hafidz dibawa  pergi oleh komunis pada waktu itu (ikuti kisahnya di Wikipedia Habib Omar bin Hafidz)  dan perasmian kedua adalah pada Muharram 1417 H. Maka pada setiap kali datangnya  bulan Muharram satu ihtifal akan diadakan dengan pembacaan Maulid karangan habib Muhammamd bin salim bin Hafizd sendiri . Ramai para ilmuan dijemput untuk menghadiri majlis ini. Dan sudah tentu hidangan Ruz hadhrami yang terkenal itu tak dilupakan.

Asas pengajian ilmu di  Darul Mustafa adalah terletak pada 3 perkara utama ;

1. Penguasaan ilmu Islam secara murni(ilmu)
2.Pembersihan jiwa dan pemurnian akidah(suluk)
3. Da'wah ke jalan Allah.(da'wah)

Jadi bagi pelajar Darul Mustafa , mereka berpeluang untuk keluar berda'wah disekitar Hadhramaut atau ke sesuatu kawasan yang telah diaturkan oleh pihak pentabdbiran. Di samping bergaul dengan masyarakat dan menyampaikan apa yang dipelajari , ia sedikit sebanyak membantu pelajar memahami budaya setempat dan meluaskan penguasaan bahasa.


Habib Ali al-Jufri.


Semoga paparan kali ini memberikan manfaat kepada pencinta ilmu dan ahli bait Rasulullah sallaAllahualaihiwasallam.