Saturday 1 November 2014

Inilah sebuah kisah (3) - al habib Abdullah bin Syihab dan seorang bayi kecil






Habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihabuddin.





Seorang hamba Allah bercerita, ada seorang lelaki yang sering mengunjungi habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihab untuk menziarahinya dan kadangkala bertalaqqi dengannya. Meskipun bukan setiap hari namun seminggu sekali jika berkesempatan lelaki itu pasti akan hadir menemui gurunya itu di rumah habib yang terletak di Nuwaidirah. Dengan sifatnya yang lemah-lembut habib Abdullah akan menerima tetamunya dengan penuh ikram. Senyuman dan alu-aluan sentiasa di bibir akan membuatkan sesiapa sahaja yang menziarahinya akan berazam untuk bertemu lagi dengannya buat kali yang kedua.

Pemuda itu tadi sebenarnya mempunyai seorang cahaya mata yang masih kecil. Dia amat menyayangi anaknya itu. Namun begitu muamalahnya dengan sikecil agak kasar dan menyebabkan anak kecil itu kadang-kala menangis ketika bermain-main dengan ayahnya. Meskipun sudah diingatkan beberapa kali oleh si isteri agar berlemah-lembut dengan si kecil, tetap dia dengan sikapnya hingga menyebabkan si isteri merasa sedih setiap kali melihat anak kecilnya menangis.Setelah beberapa kali dinasihati namun sikapnya tetap sama. Akhirnya si isteri mengadu kepada Allah didalam solat dan doa agar sikap suaminya bisa berubah dari seorang yang kasar kepada seorang yang lebih penyayang dan lemah-lembut dalam melayani anak kecil mereka. 

Maha suci Allah yang sentiasa mendengar rintihan dan permohonan hambanya, pada minggu itu juga ketika lelaki itu hadir kerumah habib Abdullah, dengan tegas habib Abdullah telah berkata kepadanya: LA TU'ZIIHA ! LA TU'ZIIHA! (Jgn kau sakiti dia! Jangan kau sakiti dia!) Lelaki itu merasa sungguh terkejut dengan apa yang lahir dari lidah habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihabuddin kerana apa yang berlaku didalam rumahnya itu tidak ada siapapun yang tahu melainkan isterinya sahaja.Dia tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dan isterinya juga tidak pernah mengadu kepada orang lain.

Apabila pulang ke rumah , lantas lelaki itu menceritakan kepada isterinya tentang amaran tegas daripada habib Abdullah terhadap sikap kasarnya tehadap anak mereka.Si isteri hanya tersenyum dan merasa amat bersyukur kerana Allah telah mendengar segala rintihannya dan memberi teguran secara lansung kepada suaminya melalui  habib Abdullah. Dan dengan teguran itu ia telah merubah sikap kasar si ayah terhadap anaknya yang masih kecil dan menjadi lebih lemah-lembut dan penyayang.
Alhamdulillah ala kulli hal.

 Habib Abdullah bersama habib Salim as-Syatiri



Habib Abdullah bersama habib Omar bin Hafizd.


Saturday 25 October 2014

Antara lain


Terdapat banyak program dalam kalendar tahunan Darul Mustafa. Selain daripada pengajian kitab-kitab yang khusus , terdapat program yang telah diselarikan dengan adat Tarim  seperti majlis maulid , program-prgram sepanjang Ramadhan juga menghidupkan petang Arafah di Maula Kheilah dengan zikir dan tahlilat.

Sementara itu , setiap pagi  Jumaat , Sudah menjadi kebiasaan untuk pelajar menziarahi Zanbal yang merupakan tempat terletaknya makam para wali dan disana juga dikatakan terdapat makam para sahabat yang gugur syahid ketika peperangan menentang orang-orang yang murtad. Di Zanbal lah dikuburkan Saidina Faqeh Muqaddam , al-habib Abdurrahman as-Saggaf ,al-imam al-habib Abdullah bin Alawi al-Haddad  dan lain-lain lagi yang mana nama mereka mewangi dalam bidang ilmu dan dakwah.


Makhbarah Zanbal(gambar-Google imej)






Makam al-imam habib Abdullah bin Alawi al-Haddad( muallif kitab an-Nasaih ad-Diniyyah)
(gambar-Google imej)










Bagi pelajar-pelajar Malaysia, program ukhuwah sesama warganegara turut diadakan. Terutamanya ketika sambutan hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha. Begitu juga ketika kehadiran tetamu dari tanahair sendiri. Oleh kerana ketika itu pelajar dari Thailand, Singapura dan Kemboja amat kecil  bilangannya maka mereka akan turut serta dalam majlis-majlis yang dianjurkan oleh pelajar Malaysia.


Program bersama wakil kedutaan Malaysia San'a Yaman.(Encik Rosli)-belakang, 4dari kanan.
(maaf gambar kurang jelas)



 
Semoga paparan kali ini memberikan manfaatnya.

Saturday 16 August 2014

Tarim dalam sebuah puisi






Tajuk: Wadi Hadhramout dan sebuah daerah istimewa.


Disebalik cuacamu yang panas membakar
Dan adakala kesejukan yang nyata sukar
Disebalik debu-debu dijalanan wadimu
Jua kegersangan bukit-bukit berbongkah batu
Disana……
Berdiri, rijal-rijal berpendirian padu
Yang mengalir dalam urat nadinya
Darah nabi kekasih Allah.
Nasal Ba-Alawi punya wibawa dan haibah
Al-Eydrus, as-Saggaf, al-Muhdhar, dan al-haddad
Antara  wali-wali hebat
Pandangannya tepat dan bermanfaat.



Jua ada antara mereka
Punya nasab para syuhadah 
Dari silsilah sahabah Rasulillah
Ba-Fadhal, al-Khatib antara yang disegani
Gelar diberi menyerlah peribadi
Mereka faqeh lagi mulia hati
Tiada dengki malah saling menghargai.

Dan Tareem...
Sebuah daerah penuh barakah
Harum sebutannya dibibir sejarah
Jua pujian pencinta Rasulullah.
Kenapa ia begitu menyerlah?
Sedangkan jauh diselatan Hadhramout pada garis kharithah?

Kerana doa as-Siddiqlah Tareem berubah
Dari daerah sunyi tak dikenal ummah
Ia pun bertukar seri pada wajah
Air wadinya melimpah ruah
Para walinya berkekalan hingga khiamah
Jua baladnya penuh imarah
Tiga doa Abu Bakar Abu A’isyah
Jelas terserlah dimakbulkan Allah
Buat Ahli Tareem 
Ia adalah hadiah
Kerna setia diawal sejarah
Dari ahlinya yang menggenggam baiah
Pada as-Siddiq pengganti Rasulullah
Disaat bahana fitnah zakat dan riddah
Bermaharaja dan bebas meratah.

Disaat Tareem kita jejaki
Terasa seolah kita cuma sendiri
Lantaran belum kita kenali
Siapakah ahli yang mendiami
Daerah al-Ghanna’ yang berberkah ini.

Tapi…..
Ketika ahlinya kita gauli
Dan masajidnya kita ziarahi
Juga madrasahnya kita hadiri
Terasa…
Tidak termuat hanya sekeping hati
Untuk menampung ilmu dan kalam para wali
Serta kasih ahli Tareem pada junjungan nabi
Selawat dan zikir, sentiasa dibibir
Biarpun hidup susah dan getir.

Maka...
Di waktu Tareem kita tinggalkan
Jelas terasa kesan perpisahan
Bakal mengundang sejuta kerinduan
Padamu Tareem,
Wadah pencinta kasih, habibur-Rahman.

Ummu zaharah , Sungai petani Kedah.


(Sebenarnya  permulaan puisi ini ditulis sewaktu mula tiba di Tarim dan pengakhirannya setelah pulang ke Malaysia. Sepatutnya ia diletak dipengakhiran blog. Tapi ingatan pada daerah istimewa ini menyebabkan ia perlu segera di kongsikan.)