al-allamah Habib Salim as-Syatiri antara ulama terkenal dari Tarim |
Dalam catatan terdahulu kita telah bercerita mengapa Tarim mendapat keistimewaan tersendiri dan doa khusus dari Saidina Abu Bakar as-Siddiq.Juga dengan maksud hadis Nabi yang secara amnya menyifatkan tentang keistimewaan sifat lunak hati ahli Yaman. Semua itu dapat kami selami sewaktu bermukim di daerah ini.
Ketika catatan ini diteruskan , Malaysia sedang bersedih dengan kehilangan misteri pesawat MAS MH 370 . Semoga Allah mempermudahkan jalan keluarnya. Dan Alhamdulillah , ada pihak yang menganjurkan solat hajat dan doa, juga dengan selawat mega di Putrajaya yang di pimpin Habib Syeikh bin Abdul Qadir serta habib Ali Zainal Abidin al- Hamid . Di sana terpancar keikhlasan hati yang tiada bandingnya dari ahli bait nabi Muhammad sallallaalaihiwasallam.Juga turut sebaris dengan Habib Ali pada malam itu ialah habib Abdur Rahman bin habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafizd. Keikhlasan dalam doa mereka mengalir dari hati dan darah daging yang telah mendapat keberkatan doa as-Siddiq. Kerana itu mereka begitu istimewa bahkan menjadi lebih istimewa kerana mereka ahli bait Nabi sallAllahalaihiwasallam dan mereka orang-orang yang berilmu dan menyanjungi sunnah-sunnah baginda. Amatlah malang bila ada yang mempertikaikan insan-insan mulia ini tanpa menyelami susur galur peribadi mereka. Semoga kita sentiasa dalam bimbingan-Nya.
"HABIB" adalah satu gelaran yang diberikan oleh penduduk Hadhramaut kepada ahli bait Rasulullah yang berilmu, disegani dan dihormati ramai.Jadi tidak timbul soal negatif pada gelaran 'habib' ini. Biasanya di Tarim seorang ahli bait yang masih muda tidak dipanggil "habib". Cuma sekadar panggilan 'Syed' sebagai menghormati nasab mereka yang mulia.Jadi gelaran Habib amat tinggi nilainya.Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara lidah kita dari suka merendahkan orang lain.Biasanya ahli bait nabi yang disegani , mempunyai susur-galur nasab tersendiri yang disimpan. Dan ada dikalangan mereka yang ahli tentang keturunan ini. Seandainya tedapat sebarang dakwaan yang tidak benar tentang nisbah pada sesuatu keturunan, biasanya pembohongan itu tidak akan berpanjangan. Ia pernah berlaku di Tarim. Seorang pelajar dari nusantara meletakkan nama Syed al-Habsye sebagai nisbah kepada keturunan ahli bait yang terkenal. Namun yang salah tu tidak akan kekal lama. Dia kemudian dipanggil berjumpa Habib Ali Masyhur bin Muhammad bin Hafizd untuk menerangkan susur-galur keluarganya dan ternyata gagal. Nasab nabi yang mulia sentiasa terpelihara.
Seandainya kita memandang sesuatu yang kurang enak pada mereka , sebagaimana juga pada insan lain, tugas kita adalah membetulkan dengan penuh hikmah dan mendoakan jika tidak mampu. Tapi awas! Jangan sesekali mencela.Bimbang ia akan membawa kepada pengakhiran hidup yang tidak baik. Nauzubillah.
Tarim di kenali dengan kota para wali. Hadir ke sana akan mendekatkan kita dengan cerita-cerita aulia dan orang-orang soleh. Jesteru, seandainya memasang keinginan untuk ke kota Tarim, hadirlah dengan hati yang penuh rasa rendah diri. Meskipun kita seorang yang telah mencapai gelaran yang tinggi dalam bidang ilmu di universiti. Kerana andai kita hadir dengan dada yang bagai gelas yang telah penuh, tentu ia tidak dapat mengisi apa-apa lagi. Tapi sekiranya hadir dengan dada umpama gelas kosong , sebagai tanda tawadduk , pasti banyak manfaat dapat kita perolehi.Sentiasalah berbaik sangka dengan orang-orang yang kita jumpa kerana kita tidak tahu diantara kita siapa yang lebih mulia kedudukkannya disisi Allah.
Kehidupan ilmu , amal dan warak para wali telah membentuk masyarakat disini kuat dengan agama dan berpegang teguh dengan sunnah-sunnah Rasulullah. Kita tidak akan bertemu dengan wanita yang tidak berhijab disini. Bahkan kaum hawa yang bekerja diladang dan kebun-kebun sayur akan tetap kelihatan berjubah hitam dan berniqab. Kalau ada yang tidak menutup aurat sekalipun ia mungkin pelancong bukan Islam dari luar negara.Selain itu kenduri - kendaranya tidak ada ikhtilat diantara lelaki dan perempuan.Bahkan seorang teman kami dari sweden yang pernah belajar di negara timur tengah yang lain menyifatkan majlis perkahwinan di Tarim penuh sopan berbanding tempat dia belajar dahulu.
Setiap kali azan berkumandang dari masjid-masjidnya yang berjumlah ratusan buah masjid, maka kedai-kedai akan ditutup seketika.Bahkan kedai menjual barang kemas pun sekadar ditutup sebelah pintu sahaja tanpa ada rasa bimbang dan penjualnya akan pergi menunaikan solat berjemaah di masjid yang berdekatan. Jiran kami, Karamah Ba-Khamis seorang yang berkebolehan memperbaiki telivision dan radio bukan saja bertindak sebagai penjaga masjid Alawi Samin yang terletak berdekatan rumahnya, juga sebagai muazzin setiap kali tibanya waktu solat. Kerjanya akan ditangguhkan seketika dan solat waktu dikerjakan berjemaah tepat pada waktunya. Kaum hawa, meskipun tidak ada tempat khusus di masjid-masjid sekitar Tarim tapi amat menitik beratkan solat berjemaah dirumah.Pernah suatu hari,Iman anak gadis Karamah berusia kira-kira 10 tahun ketika itu , baru pulang dari sekolah dan belum menunaikan solat zohor, sebaik sahaja berwudu' lantas dia bertanya dengan suara nyaring "Ada sesiapa yang belum solat ? Saya ingin berjamaah bersama-sama". Begitu satu contoh penekanan solat berjemaah yang sudah tertanam dalam jiwa ahli Tarim sejak kecil.
Siwak, satu sunnah Rasulullah yang tidak asing lagi. Tapi tidak ramai yang mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh, apalagi diamalkan secara beramai-ramai. Di Tarim, anda tidak akan sunyi melihat seorang anak lelaki yang masih disekolah rendah bersiwak dengan kayu Arak sebelum mengangkat takbiratul ihram dan memasukkan semula siwak kedalam kocek bajunya. MasyaAllah! Ia suatu pemandangan comel yang cukup luar biasa. Dan bagi orang-orang dewasa ia suatu perkara biasa. Sabda Nabi" Kalaulah tidak menjadi keberatan keatas ummatku, akan aku perintahkan untuk mereka bersiwak setiap kali solat:" Bagi kaum hawa pula , mereka tanpa ada rasa malu akan mengikat kayu siwak pada tali pengikat telekung.Allahummasalliwasallim alaih. Dari mana datangnya penghayatan amalan sunnah sebegini kalau bukan dari para ulama yang sentiasa memperingatkan dan mengamalkannya.
Bercerita tentang para ulama , terlalu luas untuk dicoretkan. Serba ringkasnya, bumi Tarim dimuliakan dengan kehadiran sahabat nabi yang mulia Ubbad bin Bisyir r.a Dari situlah bermulanya perkembangan ilmu. Seterusnya adalah kehadiran Imam Muhajir ilaAllah Ahmad bin Isa an-Naqib bin Muhammad an-Naqib bin Ali al-Uraidhi bin Ja'afar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-imam Hussain bin Ali bin Abi Talib ke Hadhramaut bersama-sama rombongannya pada tahun 317 h telah menyuburkan lagi perkembangan ilmu disana amnya dan di Tarim khasnya. Perjalanan panjang Imam Muhajir dari Basrah , Madinah dan Makkah seterusnya Hajrain dan berakhir di Husayyisah , satu perkampungan yang jauh di Hadhramaut memberikan tambah nilai kepada bumi Tarim, apabila zuriat Imam Muhajir yang mulia telah berpindah kesana dan meneruskan kesinambungan ilmu yang diasaskan oleh anak cucu sahabat nabi SallAllahualaihiwasallam.
Tarim, diberikan gelaran al-Ghanna' kerana ia telah menjadi tempat penetapan zuriat yang mulia ini. Sehinggakan mazhab muktazilah yang ketika itu menguasai Hadhramaut menjadi lumpuh sejak kehadiran Imam Muhajir yang berpegang dengan mazhab Syafie.
Al-Faqeh Muqaddam yang lahir di Tarim tahun 574h meneruskan kesinambungan ilmu dan warak dari zuriat Imam Muhajir. Beliau yang bernama Muhammad bin Ali ba Alawi merupakan pengasas kepada Tariqat ba Alawi . Sementara al-Imam Eidrus al-akbar Abdullah bin Abu Bakar dan saudaranya Syekh Ali bin Abu Bakar memperluaskan perkembangan ilmu dengan pelbagai bentuk karangan(864h -892h). Dari masa kesemasa telah lahir rijal yang mempunyai berbagai kelebihan dalam bidang ilmu dan berbeza diantara satu sama lain.Antaranya ialah Syeikh al-Qutb Abdur-Rahman as-Saggaf (819h) yang digelar dengan Muqaddam2 juga anaknya al-Imam al-Ghaus Omar Mihdhar (Muhdhar)(833h) . Begitu juga dengan al-Qutb Eidrus Abdullah bin Abu Bakar dan anaknya Abu Bakar al-Adeni(914h) . Antara lain yang terkenal dengan ilmu dan warak dari silsilah ini ialah Syeikh Abu Bakar bin Salim (992h) dan Syeikh Omar bin Abdurrahman al-Attas (1072h). Kemuncak kegemilangan zuriat ini adalah dengan kelahiran al-Imam syeikhul Islam Qutb da'wah wal- Irsyad Abdullah bin Alawi al-Haddad. (1132h). Kelebihannya dalam berdakwah dengan tulisan dan lisan telah meluaskan lagi perkembangan ilmu dan dakwah , bukan sekadar pada masa itu sahaja bahkan karangan-karangan imam al-Haddad telahpun digunakan sebagai rujukan di timur dan barat. Murid-murid beliau juga berjaya menjadi pendakwah dan pengarang-pengarang kitab yang berkaliber dan disegani.
No comments:
Post a Comment