Sunday 16 February 2014

Meniti seri di bumi Hadhramie.




Permulaaan sebuah perjalanan ke Hadramaut adalah setelah beberapa bulan melangsungkan perkahwinan . Kami Abu Muhammad dan Ummu Muhammad (ummu Zaharah) bersama beberapa sahabat yang lain berangkat dari Klia dan transit di Jordan. Ketika sampai di lapangan terbang Amman , jam menunjukkan waktu sekitar 4 pagi tahun 2001. Mungkin pada waktu yang agak tegang ini membuatkan wajah pegawai-pegawai yang menguruskan pasport disitu juga kelihatan agak garang dan tegas. Namun apabila kami sampai ke lapangan terbang San'a  Yaman pada waktu yang sama hari berikutnya ternyata keadaannya berbeza. Pegawai-pegawainya dibahagian pengurusan pasport menyambut dengan mesra dan bertanya khabar. Ternyata ini adalah gambaran sebenar sabda Nabi tentang realiti masyarakat Yaman itu sendiri."Mereka itu orang yang lunak dan lembut hati mereka".
Seketika di San"a, dengan bantuan "ashab Malizia di sana " rombongan kami menyewa sebuah Syuqkhah sementara menanti urusan untuk terus ke Hadhramaut. Barakallah fi kum atas segala bantuan.


 Ketika itu cuaca di San'a sangat sejuk. Mencecah kira-kira 7 darjah calcius   .
Seterusnya  adalah melalui perjalanan yang panjang dengan menaiki bas ke Hadramaut. Safar yang memakan masa kira-kira 12 jam itu bermula dengan menuruni tanah tinggi kota San'a. San'a terletak  ditengah-tengah jejaran tanah tinggi Yaman kira-kira 2,200 m dari aras laut.Jalannya baik cuma ia berbengkang-bengkok dan di kelilingi bukit-bukit batu. Kemudian kami melalui dataran yang rata hinggalah ke Maarib dimana terletaknya empangan masyhur yang disebutkan dalam al-Quran. Masih kelihatan dari jalanraya puing-puing kota Balqis permaisuri nabi Sulaiman alaihissalam.Terdapat juga dikiri kanan jalan kebun -kebun anggur dan limau yang subur. Seandainya kita membaca maksud surah Saba' ia akan jelas memberikan satu gambaran yang sangat istimewa tentang daerah ini.  Sementara memasuki tanah Hadhramaut, jelas ia agak berbeza.Pemandangan padang pasir di kiri kanan jalan adalah satu perkara biasa.Bukit-bukitnya berpuncak rata, seperti Mounttable di South Africa. Tapi lebih luas dan panjang. Meskipun begitu tedapat juga lembah-lembah subur di Hadhramaut yang menjadi sumber penanaman Bur ( gandum) , bawang , kentang dan sudah tentunya Tamar.Jesteru kita juga akan menikmati pandangan perkebunan Tamar yang subur diselang seli dengan tanaman bawang dan lain-lain.


Pandangan sedikit ribut padang pasir yang sempat dirakamkan.



Tanaman  Gandum dan Tamar yang subur.
   
 Kami sampai di Seyun ketika matahari hampir terbenam setelah memulakan perjalanan dari awal pagi. Keletihan jelas terasa pada wajah setiap ahli rombongan. Namun qasad utama adalah bumi Tarim. Jadi jarak yang tidak seberapa dari Seyun ke Tarim bukan lah alasan untuk melengahkan perjalanan.
Ya Allah! Berkatilah kami pada perjalanan mencari ilmu ini.

Terus terang sahaja, sebelum ke Tarim , Ia bukanlah sebuah daerah yang benar-benar kami kenali. Cuma sekadar khabar dari beberapa orang sahabat bahawa Hadhramaut dan daerahnya merupakan tempat perkembangan ilmu tasauf dan fiqh Syafi'i . Syukur pada Allah yang telah memberikan kami peluang untuk mengenali dan bermukim seketika di daerah ini.




Masjid Jamie' ditengah- tengah pekan Tarim


Istana lama ar-Ranad yang terletak bersebelahan masjid Jamie'



Sementara sahabat-sahabat lain ke Dar Mustafa kami menumpang seketika di rumah keluarga seorang sahabat yang juga merupakan jiran kami di Malaysia. Disitulah kami menumpang sementara untuk mendapatkan rumah sewa. Agak sukar juga. Kerana lahjah bahasa yang baru dikenali ini agak asing dan sukar difahami.Terima kasih tak terhingga pada keluarga Ustaz yang telah menamukan kami sebaik tiba di Tarim . Barakkallah fikum wa fi ahlikum wa amwalikum.

Maaf! Belum kami ceritakan seri di bumi Hadharmie. Kerana sudah menjadi adat suatu safar ia penuh dugaan di awalnya dan akan bertemu serinya di kemudian hari.Rumah yang dapat kami sewa terletak kira-kira 15 minit berjalan kaki ke Dar Mustafa. Ia sebuah penempatan baru yang agak lengang dan sunyi pada waktu itu. Terdapat beberapa buah rumah yang telah siap , namun belum dihuni dan ada juga sekadar tapak rumah yang belum dibina. Hanya sekadar beberapa keluarga sahaja yang menghuni kediaman masing-masing. Itulah kawasan yang bernama Raudhah. Terdapat sebuah masjid dikawasan itu yang menjadi tempat ahli Dar Mustafa dan penduduk sekitar menunaikan solat Jumaat.Iaitu majid Raudhah. Walaupun pada awalnya agak sukar dengan keadaan cuaca sejuk yang berbeza , kedai yang jauh, muamalat dalam lughah dan lahjah yang asing dan dalam keadaan Ummu Muhammad yang berbadan dua, namun akhirnya dipermudahkan Allah bila kami mula mengenali jiran-jiran dari ahli  Tarim dan juga ashab di Dar Mustafa yang lain. Rupanya jiran di sebelah kanan rumah kami adalah sebuah keluarga dari Mesir yang anak-anaknya belajar di Darul Mustafa . Dan khabarnya sebelum kami pulang ke Malaysia anak gadis mereka telah berkahwin dengan Habib Ali al-Jufri. Semoga keberkatan  berpanjangan buat mereka.


Darul Mustafa ketika itu masih dalam pembinaan.





Rumah milik Karamah Mubarak ar-Ribaki yang kami sewa.



Seri di bumi Hadhramie bukan sahaja kerana seri menempuh permulaan alam perkahwinan di negeri orang. Tapi yang utamanya adalah seri nada-nada salawat dari majlis maulid yang sering berkumandang dan juga tentunya dari wajah para habaib dan ilmuan lain yang senang di lihat dimana saja. Di masjid, di pasar , juga tentunya di majlis-majlis ilmu. Seseorang yang kita lihat pakaiannya berdebu, membimbing sebuah beg kecil yang lusuh tapi bibirnya tetap basah dengan doa dan selawat. Perkara sebegini adalah gambaran biasa  pada ahli Tarim. Di Tarim ,Ghat atau daun yang sering menjadi kunyahan penduduk Yaman di bahagian utara telah diharamkan disini. Jadi pengunyah Ghat tidak akan kelihatan di pekan Tarim.

Pertama kali menghadiri majlis maulid pada malam Jumaat di Darul Mustafa mengundang satu perasaan yang sangat istimewa. Seperti disuntik dengan zat yang amat menyegarkan jiwa. Kami merasakan ia adalah satu kesinambungan jiwa  dari majlis -majlis maulid dan burdah yang pernah kami hadiri sewaktu di Malaysia. Bezanya masyarakat disini kebanyakkannya tidak lagi memerlukan kitab maulid untuk dibaca kerana alunan maulid itu sudahpun bermain-main dibibir mereka . Kecuali pada syair-syair panjang dan nadir, maka ia akan tetap dirujuk. Ini disebabkan majlis-majlis maulid adalah acara mingguan mereka bukan tahunan seperti yang berlaku di kebanyakkan tempat dinegara kita.Yang kecil, tua dan muda seiring melagukan selawat buat junjungan nabi Muhammad sallAllahalaihiwasallam dan kemudiannya mendengar tazkirah ringkas dari masyaikh juga habaib. Allahummasalli wasallim alaih.