Thursday, 29 September 2016

Seminggu dalam setahun.


Allahu akbar.
Sebelum meneruskan catatan mengenai program sepanjang tahun hijrah di Tarim, kita kembali semula ke Hafah Ba Alawi, meniti hari-hari pemburu ilmu dan keberkatan di sebuah daerah istimewa Tarim al-ghanna'.

Kali ini mari kita susuri  program atau kebiasaan yang telah menjadi adat bagi ahli Tarim dalam masa seminggu.

( Berikut adalah catatan yang di petik dari kitab Aadaat Tareem karya as-Sayyed Hameed bin Muhammad bin Abdullah bin Syihabuddin dengan sedikit pengolahan.)

Semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada para solihin terdahulu yang telah mengatur pelbagai aktiviti untuk sepanjang minggu siang dan malam. Mudah-mudahan Allah memberi bimbingan kepada kita semua untuk melaksanakan amal soleh dan menghadhiri majlis-majlis yang bermanfaat dan mengurniakan akhlak yang mulia serta berbaik sangka . Dan menjadikan niat kita ikhlas, semata-mata mencari keredhoan Allah. Juga jauh dari sifat ujub, riyak dan takabbur. Ya Allah , kurniakanlah kami kesihatan yang sempurna buat membantu kami melaksanakan perkara-perkara yang bisa mendekatkan kami dengan-Mu.

Jumaat: Selepas solat subuh dan bacaan azkar, program dimulakan dengan ziarah tanah perkuburan Turbah Basyar (Zanbal ,Furait dan Akdar). Biasanya tanah permakaman Zanbal menjadi keutamaan . Kerana ia merupakan kawasan pemakaman ahlul bait dan para ulama. Bahkan terdapat di situ satu kawasan yang dikatakan makam para syuhadak dari kalangan sahabat yang terkorban ketika peperangan menentang ahlu riddah.Terdapat tertib tertentu dalam menziarahi kawasan pemakaman ini yang telah pun disusun oleh ulama Tarim terdahulu.  
                                              



Habib Ali Masyhoor mengetuai bacaan doa di tanah perkuburan Zanbal.



-Persediaan untuk melaksanakan solat jumaat biasanya dilakukan awal oleh kaum muslimim. Kerana menjadi rutin mereka untuk menghadiri Jamie dan membaca surah-surah yang dikhaskan untuk hari Jumaat atau membaca Dalailul kahirat atau apa jua kitab yang mengandungi selawat keatas Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam.
(Di pekan Tarim tumpuan solat Jumaat adalah di masjid Jamie, sementara  di kawasan Darul Mustafa adalah di masjid Raudhah.)
-Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Jumaat, ada yang akan mengikuti hadhrah al-Imam Abdullah al-Haddad yang di adakan di rumah hadhrah berkubah hijau terletak berhampiran masjid Ba-Alawi.

Selepas solat asar : Terdapat beberapa siri pengajian yang disebut Rauhah.Antaranya di masjid Surur, di madrasah al-habib Abdullah bin Syeikh al-Idrus dan di masjid Nafie.

Sabtu: Pada pagi Sabtu dan Rabu, diadakan pengajian umum di Ribat Tarim. (Bukan khusus untuk pelajar sahaja bahkan pelbagai golongan masyarakat akan menghadiri majlis ilmu ini hingga memenuhi ruang dan melimpah ke kaki lima Ribat.Ketika kami disana Habib Hasan as-Syatiri yang mengajar dan mencurahkan ilmunya, kemudian di ganti habib Salim as-Syatiri setelah Habib Hasan kembali ke rahmatullah.Kini ketika Habib Salim menjalani rawatan di luar, pengajian diteruskan oleh habib Abu Bakar balfageeh)

Ahad dan Selasa - Pagi- pengajian di zawiyah Syeikh Salim bin Fadhl ba Fadhal di Khalif.

Ahad sahaja  -    Pagi- pengajian di tempat kelahiran imam al-Haddad  di Sabir berhampiran dengan Fejir

Isnin dan Khamis
- Pagi, pengajian di ghurfah Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad di Hawi al-Khairat.
- Selepas zohor, pengajian di zawiyah Syeikh Ali bin Abu Bakar as-Sakran.
-Selepas Isyak, Hadhrah di masjid syeikh Abdur Rahman as-Saggaf  di pekan Tarim

Isnin sahaja 
-   Pagi, bacaan kitab Ihya Ulumuddin di kubbah Habib Abdullah bin Abu Bakar al-Idrus di Turbah .
- Selepas Maghrib, Maulid di masjid Surur, Nuwaidirah.

Selasa
 - Petang, hadhrah aali al Baar (hadhrah ba-Saudan) di satu tempat yang dahulunya merupakan kediaman mufti Hadhramaut. Al-habib Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhoor. Pengarang kitab Bughyah Mustarsyidin.( bersebelahan rumah keluarga habib Omar bin Hafeez.)
*Bacaan hadhrah juga diadakan di kubah habib Abu Bakar bin Abdullah baSyumailah di Turbah dan di madrasah habib Abdullah bin Syeikh al-Idrus di Seahil dan di lain-lain tempat dan rumah.
                       
Khamis sahaja
- Pagi , bacaan kitab al-Bukhari di masjid Ba-Alawi.
-Selepas Maghrib, Maulid di masjid Jamie', masjid Syihabuddin di Nuwaidirah dan lain-lain masjid termasuk Darul Mustafa dan Darul Zahra'.

Mungkin telah terdapat pelbagai pertambahan aktiviti ilmu di Tarim berdasarkan bertambahnya madrasah .
Semoga sinaran ilmu terus berkembang dan cahayanya dapat kita manfaatkan bersama.Dan mudah-mudahan sentiasa dalam pertolongan Allah.

No comments:

Post a Comment