Masjid al-Muhdhar. |
Saat ramadhan menjelma, insan yang punya iman di dada , pasti akan rasa bahagia, kerana hadirnya masa, mengumpul pahala berganda, pintu syurga terbuka seluasnya, maghfirah dan rahmatNya merata.
Ramadhan , menghadirkan kerinduan yang mewangi , bagi siapa saja yang pernah bermukim di Tarim. Kerana Ramadhan disana sangat istimewa.Bila adat bersendi syariat, hidup terasa indah belaka. Bila syariat menjadi pakaian kita,hidup yang sukar terasa sempurna.
Dari bulan syaaban lagi,ahli Tarim akan mempersiapkan diri untuk menempuh Ramadhan.Masing-masing sibuk membersihkan rumah. Sememangnya kedatangan Ramadhan adalah tetamu istimewa yang sangat dinanti-nantikan.
Jika kita membersihkan dan menghias rumah di bulan Ramadhan untuk menyambut Syawal, namun mereka melakukannya pada bulan syaaban untuk menyambut Ramadhan.
Aktiviti seharian bermula agak lewat pada siang hari Ramadhan berbanding hari-hari biasa. Kerana malam mereka lebih hidup . Perniagaan dan kedai akan aktif selepas solat zohor. Majlis ilmu juga turut diadakan di masjid Jamie.Pengajian khusus di dar Mustafa ,Ribat Tarim dan dar Zahara' sememangnya telah bercuti bermula 15 Syaaban lagi. Cuma terdapat beberapa halaqah yang menyambung bacaan kitab atas inisiatif sendiri. Dan kuliah-kuliah habib Omar selepas asar dan subuh berjalan seperti biasa.Majlis-majlis ilmu wujud dimana-mana.
Pengajian bersama habib Omar bin Hafiz di dar al-Mustafa. |
Selepas solat asar masing-masing dengan kesibukkan sendiri. Tapi bukan perkara aneh apabila kita dapati peniaga-peniaga yang sedang menunggu pelanggan akan mengisi masa dengan membaca alQuran. Di mana-mana sahaja.
Iftar di Tarim penuh kesederhanaan. Biasanya mereka akan saling mengundang saudara mara untuk berbuka puasa dirumah . Kerana beramal dengan anjuran Rasulullah untuk memberi makan kepada orang yang berbuka. Jiran kami menyebutkan bahawa dalam sebulan bulan Ramadhan, jarang sekali mereka berbuka puasa di rumah. Bukan berbuka puasa di kedai atau hotel tapi kerana sering diundang keluarga dan saudara mara yang berlumba-lumba menjamu orang yang berpuasa.
Bila jiran kami mengadakan majlis iftar untuk saudara mara, kami turut diundang.
Hidangan berbuka yang mula dihidangkan adalah Tamar, air, sambosa dan bagal (sejenis sayur seperti sawi tapi tidak sepahit sawi). Apabila masuk waktu berbuka, hidangan itulah yang dimakan terlebih dahulu. Bagal dikunyah seperti kita mengunyah ulam. Kemudian masing-masing bangun mengerjakan solat maghrib berjamaah. Semestinya tiada ikhtilat lansung diantara lelaki dan wanita. Kaum muslimin akan ke masjid solat maghrib dan muslimah solat berjemaah di rumah. Menjadi kebiasaan mereka akan mengerjakan solat sunat awabin dan tasbih selepas maghrib. Setelah itu barulah tetamu akan dihidangkan dengan hidangan istimewa berupa nasi dengan ayam atau daging mengikut kemampuan masing-masing. Kemudian muslimin ke masjid untuk tarawih sementara muslimah mengerjakan tarawih 20rakaat berjamaah dirumah. Seperti biasa witir dilakukan 3 rakaat. Namun ada jamaah yang melanjutkan sendirian menjadi 11rakaat.Subhanallah. walaupun telah lanjut usia namun himmah beribadat mereka sangat dikagumi.
Masjid-masjid di Tarim melaksanakan solat tarawih pada waktu yang berbeza.Ini memberi peluang kepada mereka yang mempunyai himmah yang tinggi dalam beribadat, dapat melaksanakan sebanyak-banyaknya solat sunat sepanjang malam Ramadhan.Bergantung kepada kemahuan masing-masing. Pelajar-pelajar juga diberi kebebasan untuk mengunjungi masjid-masjid lain setelah selesai tarawih di madrasah. Misalnya masjid Jauhari , solat pada awal waktu, masjid baAlawi pada waktu berikutnya, dikuti masjid-masjid lain sehinggalah yang terakhir adalah masjid Jamie yang melaksanakan tarawih ketika hampir waktu sahur.Dengan kesungguhan dan himmah , solat boleh terlaksana hingga mencapai 100 rakaat. Kalau berkehendak.....
surah-surah yang dibaca dalam solat Tarawih di Tarim biasanya adalah dari ad-dhuha hingga an-nass, dengan mengecualikan al-alaq dan al-bayyinah. Sementara di Darul Mustafa adalah bacaan al-Quran.
Dengan kedudukan rumah yang terletak di samping masjid Ba Alawiyah, suasana meriah Ramadhan pada malam hari sangat terasa. Lebih-lebih lagi bila tiba malam khatam masjid Saggaf, BaAlawi atau Muhdar. Jamaah akan memenuhi lorong-lorong sekitar masjid.sejadah dihamparkan diatas jalan-jalan tempat laluan yang di tutup.Majlis khatam majlis penuh berkat. Dimakbulkan doa orang-orang yang hadir. Adalah menjadi amalan salafussoleh untuk mengundang orang ramai ketika khatam alQuran agar dapat berkongsi keberkatan.
Jualan sekitar Jamie' |
Begitulah suasana penuh rahmah dan berkah pada bulan Ramadhan , bulan ibadah. Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan himmah kepada kita untuk melaksanakan ibadah di bulan yang amat mulia ini.
Kredit gambar: fb عبدالله علوي بن شهاب.
Kredit gambar: fb عبدالله علوي بن شهاب.
No comments:
Post a Comment