Tuesday, 1 October 2013

Sebuah daerah istimewa

Masjid Ba-Alwi di Tareem
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, selawat serta salam keatas nabi junjungan, nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam.

Disini , kami ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman ketika menyusuri denai talaqqi di sebuah daerah yang istimewa iaitu Tareem al-Ghanna'. Tidaklah mampu untuk kami paparkan sepenuhnya keistimewaan daerah ini. Tapi andai tidak dikongsikan, segala ingatan dan manfaat mengenainya akan terkubur ditelan "lupa" dan beberapa foto mengenainya akan rosak dimamah usia.

Sebenarnya , kehadiran di bumi Tareem telah lama berlalu. Namun kesempatan dan kekangan masa menjadi satu dinding penghalang untuk sebuah perkongsian maklumat.Apabila fenomena Habaib yang melanda negara, dinding penghalang itu kami usahakan agar ia roboh dan mampu untuk kita bersama berkongsi dan mengenal lebih jauh bumi asal susur galur para habaib ini.

Sebelum kita melangkah lagi, rasanya amat baik untuk kita mengenal serba sedikit tentang Tareem. Tareem ialah sebuah daerah yang terletak di dalam wilayah Hadhramaut, jauh ke selatan Republik Yaman.Ia terletak berdekatan dengan Seiun(Seyun).Antara bandar utama Hadhramaut.Tareem di gelar dengan al-Ghanna'  yang membawa maksud subur dan makmur.Atau lebih tepatnya ia subur dengan para ulama dan aulia'.

Kenapa Tareem begitu istimewa?Kenapa ramai ulama yang lahir dari sana? Bukankah tempat-tempat lain juga ramai ulama' ?

Persoalan ini mungkin bermain-main di kotak pemikiran sebahagian hamba Allah. Jawapannya akan kita temui seketika nanti.
 



Pemandangan  sebahagian kota Tareem


Makkah , bumi penuh kemuliaan. Di sanalah terletaknya baitullah. Madinah, negeri yang bercahaya selamanya kerana tersimpan jasad nabi kekasih Allah. Baitul Maqdis, penuh barakah. Bumi para nabi dan tempat nabi diisra' mikrajkan. Adapun tempat-tempat lain mempunyai keitimewaan masing-masing. Syam , dengan doa Nabi untuk keberkatannya. Begitu juga dengan Yaman. Dan jauh..... diselatan Yaman  , sebuah daerah yang asing, telah mendapat doa khusus dari Sahabat Nabi khalifah Rasulillah, saidina Abu Bakar as-Siddiq. Bagaimana ia berlaku? Mari sama-sama kita susuri sejarahnya.

Ketika baginda Rasulullah wafat pada 12 Rabiul Awal tahun 11 hijrah telah berlaku kekecohan di semenanjung tanah Arab dan ada yang telah menjadi murtad akibat tidak memahami dengan sebenar-benarnya akan dasar wahyu yang diturunkan. Ada diantara mereka  tidak menolak semua hukum-hakam di dalam Islam, tetapi sekadar enggan mengeluarkan zakat. Sementara itu ada juga yang menyangka bahawa mereka tidak lagi perlu mengikuti arahan khalifah dari Madinah. Maka atas dasar kewajipan sebagai seorang muslim dan rasa bertanggungjawab telah mendorong saidina Abu Bakar untuk melancarkan perang keatas golongan yang murtad dan enggan mengeluarkan zakat.

Ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, antara dalegasi yang dihantar untuk memaklumkan perlantikkan khalifah dan kewafatan Rasulullah adalah kepada Ziyad bin Labid al-Ansari as-Sahabi yang telahpun berada di Hadhramaut menjadi utusan Rasulullah sallallahualaihiwasallam dalam menyampaikan dakwah kepada penduduk disana.  Sebaik sahaja Ziyad memperolehi surat tersebut dan membacanya, lansung dia keluar dengan pedang yang tersangkut dibahu dan mengimamkan orang ramai menunaikan solat zohor, kemudian berkhutbah kepada mereka setelah membacakan kepada orang ramai surat daripada  khalifah Abu Bakar as-Siddiq.Beliau meminta orang ramai berbaiah dengannya dan memerintahkan mereka agar mengeluarkan zakat. Maka  penduduk Tareem adalah yang paling ramai menyahut seruan Ziyad bin Labid r.a. Namun ada juga golongan yang enggan dan engkar. Ziyad bin Labid kemudian mengutuskan surat kepada khalifah dan  memaklumkan apa yang telah berlaku tentang kesetiaan juga tentang golongan yang enggan menerima baiah. Sebaik sahaja khalifah menerima surat tersebut, beliau telah mendoakan tiga doa khusus untuk penduduk Tareem.

1.Di perbanyakkan para solihin dibumi Tareem
2.Di berkati pada airnya.
3.Tidak akan terpadam api disana.
( Ada yang berpandangan ia membawa erti bumi Tareem akan sentiasa berpenghuni dan makmur selamanya.)- rujukan- kitab Adwar at-Tarikh al-Hadhrami.(al-Allamah Muhammad bin Ahmad as-Syatiri.)

Ternyata doa khalifah di makbulkan Allah. Nah! Sekarang kesannya kita rasai hingga ke nusantara bila Islam hadir kedalam jiwa kita melalui jerih payah ulama dari bumi yang telah didoakan oleh as-Siddiq  . Bahkan Tareem juga telah digelar dengan Madinatus-Siddiq kerana kesan dari doa yang mustajab itu. Ia menjadi lebih gemilang bila solihin yang bercambah disana bukan sahaja dari kalangan anak cucu sahabat nabi yang telah pun sampai kesana dahulu dan ahli Tareem sendiri, bahkan juga dari kalangan nasab Rasulullah yang telah berhijrah kesana dari bumi Iraq. MA...AJMALA HA..ZA. Kedinginan alunan Ya Hanana yang mengalir menyegarkan jiwa  dari Habib Syeikh bin Abdul Qadir as-Saggaf , juga kehangatan tazkirah dari Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid , susuri saja asal nasab mereka ! Pasti ianya merentasi Indonesia, Tareem  Hadhramaut , Iraq dan seterusnya kembali ke Madinah, asal nasab yakni Rasulullah sallallahualaihiwasallam.




Al-allamah habib Salim asy-Syatiri mencium tangan abangnya habib Hasan rahimahullah.

 
Perhatikanlah bagaimana indahnya akhlak dua ulama yang hebat ini. Semoga Allah
sentiasa merahmati mereka dan memberikan kebaikkan pada orang-orang yang mencintai mereka.

 

No comments:

Post a Comment