Tuesday, 20 October 2015

Adat Tarim mengikut kalendar hijriah.-Bulan Muharram

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة السلام على رسول الله

  Sempena dengan kehadiran tahun hijri yang baru, di kesempatan ini mari kita berkongsi kegiatan masyarakat Tarim  dalam Bulan Muharram.

Kitab utama yang menjadi rujukan utama masyarakat disini dalam pengamalan doa dan zikir-zikir dalam setiap bulan adalah kitab Kanzun Najah wassurur karangan Syeikh Abdul Hamid Quds al-Makki. Kitab ini mengandungi amalan doa dan zikir sepanjang tahun . Dan kebanyakkan ahli tarim mengamalkan dan menjadikannya sebagai adat dalam kehidupan mereka.




Antara aktiviti maasyarakat Tarim di bulan Muharram.

  • Hari k 9 Muharram .Bacaan fadhail Asyura di Masjid Syukrah( masjid Syeikh al-arif billah Hussien bin Abdullah Balhaj)yang terletak di Khalif. Program diadakan selepas asar .
  • Malam Asyura 10 Muharram. Bacaan fadhail Asyura di adakan di masjid Ba-Alawi selepas isyak dengan di hadiri ramai sekali masyarakat Tarim .    


Suasana beginilah yang akan kelihatan ketika sebarang majlis diadakan di masjid Ba-Alwi





Di luar masjid




Di salah satu ruang masuk ke masjid


 Di sunatkan pada hari 9 dan 10 Muharram untuk berpuasa , menziarahi orang sakit dan menziarahi orang- orang yang soleh.Juga digalakkan untuk banyak bersedekah. Oleh kerana itu pada hari Asyura  ia menjadi  seperti satu perayaan buat kanak-kanak.Mereka akan mendatangi rumah ke rumah dengan  menyebut "Haggu Asyura" dan tuan rumah yang sedia memahami akan memberikan gula-gula atau  wang  kepada  kanak-kanak ini dan mereka akan berlalu dengan gembira. Ia seperti keadaan hari raya di Malaysia.     

  • Pada akhir Jumaat bulan Muharram jumlah orang-orang yang menziarahi tanah perkuburan zanbal dan lainnya lebih ramai dari kebiasaan.

  • Tanah perkuburan Zanbal

    Penjaga pintu Zanbal yang istimewa

  • Pada akhir Ahad bulan Muharram, diadakan hadhrah di kubah Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi di Hauthah. Beliau merupakan murid al-imam Habib Abdullah al-Haddad. Penulis kitab Syarah Ainiyyah dan Risalah al-Jamiah.
  • Pada akhir hari Selasa bulan Muharram diadakan pengajian khas diantara zohor dan asar di masjid al-Awaabin (masjid imam al-Haddad) di Nuwaidirah. Program diadakan dengan pembacaan beberapa kitab imam al-Haddad dan syair-syair beliau.
  • Pada bulan Muharram juga diadakan ziarah makam saidina al-muhajir ilallah Ahmad bin Isa di Husaisah. Kerana dikatakan imam Muhajir sampai ke Hadramaut pada bulan Muharram.

ziarah makam al-imam Muhajir ilallah Ahmad bin Isa.
  • Ziarah makam sahabat nabi yang mulia Ubbad bin Bisyir al-ansari diadakan setelah berlalu sepuluh Muharram.Makam beliau terletak di atas sebuah bukit di Lasak ,timur pekan Tarim. Dari beliaulah lahirnya generasi al-Khatib Hadhramaut.

Syeikh Omar al-khatib -tenaga pengajar di Dar Mustafa
  • Ziarah makam Syaikhah Sultanah  binti Ali az-Zabidi yang di gelar Rabiah Adawiah Hadhramaut. Walau bagaimanapun ia tidak terhad pada bulan Muharram kerana ziarah diadakan mengikut kelendar tempatan yang kadangkala berbetulan dengan bulan Muharram.

Semoga Allah sentiasa memberikan kita bimbingan  kearah setiap perkara yang dicintai dan diredhoi-Nya.



-Gambar sumber FB dan peribadi.
-Rujukan-kitab ad-Dalil al-Qawim fi zikri syai' min Aadat Tarim karangan al-fadhil Sayyid Hamid bin Muhammad bin Abdullah bin Syihabuddin.



  

Saturday, 21 March 2015

Inilah sebuah kisah(4). Seorang Syeikh yang buta.




Ketenangan Pasar pagi di pekan Tarim sedikit demi sedikit mula menjadi riuh dengan suara- suara peniaga dan pengunjung pasar . Ada peniaga yang menjual hasil tanaman sendiri, ada juga buah- buah tamar dan rutab yang masih segar. Keriuhan pasar tradisi itu  unik dengan pelbagai ragam. Tapi istimewanya  pasar basah ini hanya dihadiri oleh lelaki sahaja.Jarang sekali kelihatan kaum hawa dipasar sayur dan ikan. Jika adapun sudah pasti berhijab hitam sepenuhnya.
 
Ada yang bersarapan haif, brauthah atau juga sambosa dan mutabbakh di kedai- kedai berhampiran. Teh pekat kosong atau bersusu menjadi minuman utama mereka.  Sesekali bunyi keldai yang membawa sayuran atau barang- barang membingitkan lagi keriuhan pasar. 

Sejenak mencecah waktu dhuha kedengaran satu suara mengucapkan dengan suara yang nyaring 

                     لا اله الا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو علي كل شئ قدير                                                                                                         
Ahli pasar sudah tahu, itulah suara syeikh  Sa'id  al-Amiri , seorang yang buta. Tetapi hatinya penuh sinar. ٍ Sudah menjadi rutin setiap pagi ketika hadir ke souq dia akan mengingatkan orang ramai dengan doa yang diajarkan nabi, khusus untuk memasuki pasar. Begitulah kebiasaannya setiap hari. Sekiranya tiada suara itu di pagi hari, pasti ahli pasar akan tertanya-tanya . Apakah syeikh Said sakit.? Kenapa syeikh Said tidak datang?
Syeikh Said dahulu merupakan pelajar  habib Abdullah as-Syatiri di ribat tarim. Ingatannya kuat dan hatinya terang. masjid Alawi Samin  yang terletak berhampiran ribat merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh syeikh Said , beriktikaf, membaca al- quran dan berzikir. Dan adakala menyampaikan ilmunya kepada yang ingin mempelajari. Antaranya Abu Muhanmad yang mengenalinya sejak dari awal kedatangan kami ke Tarim.
Namun begitu, ketika kunjungan Abu Muhammad ke Tarim pada 2014 , tiada lagi ingatan doa  dipasar buat ahli souq. Kerana kata seorang kenalan , syiekh Said telah pun pulang menemui penciptanya sekitar tahun 2013.  Semoga Allah menempatkan beliau bersama orang- orang yang beriman.Dan diganjari dengan rahmat yang berpanjangan.

Monday, 2 February 2015

Rumah ke 2 di souk

Bismillahirrahmanirrahim.

Selawat dan salam keatas junjungan  yg mulia. Menjadi rahmat buat alam semesta. Pemilik panji-panji pujian lagi bercahaya. Moga kita bernaung dibawah syafaat baginda. Di hari kita tidak lagi mengenal sesiapa.
Allahummasalliwasallimalaih.

Setelah setahun di Aidid, hasrat dan niat utama untuk ke Ribat Tarim terlaksana setelah mendapat izin dari pentadbiran pejabat Darul Mustafa. Ini kerana kami juga tidak akan bermukim bertahun-tahun lama di Hadhramaut kerana keuzuran seorang ibu yang ditinggalkan di Malaysia.

Abu Muhammad menguruskan pertukaran ke Ribat dan mencari rumah yang hampir dengan Ribat Tarim.Sebuah rumah lama milik keluarga Dahruj yang terletak bersebelahan dengan masjid Ba Alwi  menjadi rumah sewaan kami yang kedua. Meskipun agak kecil berbanding rumah di Raudhah, namun kedudukkannya yang boleh dikatakan terletak dikawasan segitiga emas Tarim , antara Ba Alwi , Muhdhar dan Jamie' serta masjid  Saggaf, maka rumah lama itu tetap menjadi pilihan yang sangat istimewa. Sementara bangunan Ribat Tarim hanya berselang dengan  rumah milik keluarga Ba Khamis juga sebuah rumah milik keluarga Ba Mazru' dan sebatang jalan di tengah-tengah pekan Tarim. Allah, Allah. takdir Allah yang sangat indah.



Bangunan Ribat Tarim




Gambar terbaru 2014 bangunan tambahan Ribat. Tapak bangunan ini dulunya rumah milik keluarga ba Mazru' yang kemudian di beli oleh Ribat untuk penempatan tambahan pelajar.


Manakala Darul Fageh yang merupakan tempat pengajian khusus untuk muslimat dan kanak-kanak perempuan yang berada disekitar itu terletak bertentangan dengan masjid Ba Alawi. (Hanya di sebelah belakang rumah.)

Gambar 2014, Darul Fageh dalam rangka peluasan.(Bangunan asalnya adalah bangunan putih yang mempunyai banyak tingkap)



Alangkah berharganya sebuah kesempatan. Ya Allah berkatilah kami pada kesempatan ini.




Di hadapan ribat Tarim........................


InsyaAllah pengenalan khusus mengenai Ribat akan disebutkan pada 
Kesempatan yang lain.









Monday, 19 January 2015

Inilah sebuah kisah(5) Scanner habib

 

Bismillahirrahmanirrahim. 

Catatan ini adalah untuk pencinta ahli baitin-nabi, juga wali-wali Allah yang memiliki pelbagai keistimewaan.

Ketika berpindah ke suq Tarim sesekali kami menziarahi habib Abdullah bin Syihab. Suatu hari , badan terasa lemah dan sakit-sakit, Saya mohon kepada suami untuk menziarahi Habib Abdullah bin Syihab dengan tujuan untuk mendapatkan sedikit air bacaan doa syifa dari Habib Abdullah. Sebaik sahaja sampai di hadapan beliau kami pun memberi salam.

 Salam dijawab dan lantas beliau berkata "ماشاء الله هي حبلت"  ( ertinya Masya Allah , dia mengandung)

Kami terpinga-pinga. Sesungguhnya saya sendiri tidak menyedari bahawa saya telah hamil untuk kali kedua. dan masih belum membuat sebarang pemeriksaan.

" ان شاء الله اجابت ولد" 

( insyaAllah dapat anak lelaki) begitu ujar habib Abdullah ringkas.

Setelah membuat pemeriksaan , ternyata kalam habib Abdullah adalah kalam yang benar. Nazhrah atau pandangan seorang yang dekat dengan Allah itu menembusi hijab. Anak yang dikandung juga adalah anak lelaki sebagaimana yang didoakan beliau. 

Semoga Allah Sentiasa merahmati habib Abdullah bin Syihab.

FIRASAT SEORANG MUKMIN, MELIHAT DENGAN PANDANGAN ALLAH.-maksud Hadis


Saturday, 1 November 2014

Inilah sebuah kisah (3) - al habib Abdullah bin Syihab dan seorang bayi kecil






Habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihabuddin.





Seorang hamba Allah bercerita, ada seorang lelaki yang sering mengunjungi habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihab untuk menziarahinya dan kadangkala bertalaqqi dengannya. Meskipun bukan setiap hari namun seminggu sekali jika berkesempatan lelaki itu pasti akan hadir menemui gurunya itu di rumah habib yang terletak di Nuwaidirah. Dengan sifatnya yang lemah-lembut habib Abdullah akan menerima tetamunya dengan penuh ikram. Senyuman dan alu-aluan sentiasa di bibir akan membuatkan sesiapa sahaja yang menziarahinya akan berazam untuk bertemu lagi dengannya buat kali yang kedua.

Pemuda itu tadi sebenarnya mempunyai seorang cahaya mata yang masih kecil. Dia amat menyayangi anaknya itu. Namun begitu muamalahnya dengan sikecil agak kasar dan menyebabkan anak kecil itu kadang-kala menangis ketika bermain-main dengan ayahnya. Meskipun sudah diingatkan beberapa kali oleh si isteri agar berlemah-lembut dengan si kecil, tetap dia dengan sikapnya hingga menyebabkan si isteri merasa sedih setiap kali melihat anak kecilnya menangis.Setelah beberapa kali dinasihati namun sikapnya tetap sama. Akhirnya si isteri mengadu kepada Allah didalam solat dan doa agar sikap suaminya bisa berubah dari seorang yang kasar kepada seorang yang lebih penyayang dan lemah-lembut dalam melayani anak kecil mereka. 

Maha suci Allah yang sentiasa mendengar rintihan dan permohonan hambanya, pada minggu itu juga ketika lelaki itu hadir kerumah habib Abdullah, dengan tegas habib Abdullah telah berkata kepadanya: LA TU'ZIIHA ! LA TU'ZIIHA! (Jgn kau sakiti dia! Jangan kau sakiti dia!) Lelaki itu merasa sungguh terkejut dengan apa yang lahir dari lidah habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihabuddin kerana apa yang berlaku didalam rumahnya itu tidak ada siapapun yang tahu melainkan isterinya sahaja.Dia tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dan isterinya juga tidak pernah mengadu kepada orang lain.

Apabila pulang ke rumah , lantas lelaki itu menceritakan kepada isterinya tentang amaran tegas daripada habib Abdullah terhadap sikap kasarnya tehadap anak mereka.Si isteri hanya tersenyum dan merasa amat bersyukur kerana Allah telah mendengar segala rintihannya dan memberi teguran secara lansung kepada suaminya melalui  habib Abdullah. Dan dengan teguran itu ia telah merubah sikap kasar si ayah terhadap anaknya yang masih kecil dan menjadi lebih lemah-lembut dan penyayang.
Alhamdulillah ala kulli hal.

 Habib Abdullah bersama habib Salim as-Syatiri



Habib Abdullah bersama habib Omar bin Hafizd.


Saturday, 25 October 2014

Antara lain


Terdapat banyak program dalam kalendar tahunan Darul Mustafa. Selain daripada pengajian kitab-kitab yang khusus , terdapat program yang telah diselarikan dengan adat Tarim  seperti majlis maulid , program-prgram sepanjang Ramadhan juga menghidupkan petang Arafah di Maula Kheilah dengan zikir dan tahlilat.

Sementara itu , setiap pagi  Jumaat , Sudah menjadi kebiasaan untuk pelajar menziarahi Zanbal yang merupakan tempat terletaknya makam para wali dan disana juga dikatakan terdapat makam para sahabat yang gugur syahid ketika peperangan menentang orang-orang yang murtad. Di Zanbal lah dikuburkan Saidina Faqeh Muqaddam , al-habib Abdurrahman as-Saggaf ,al-imam al-habib Abdullah bin Alawi al-Haddad  dan lain-lain lagi yang mana nama mereka mewangi dalam bidang ilmu dan dakwah.


Makhbarah Zanbal(gambar-Google imej)






Makam al-imam habib Abdullah bin Alawi al-Haddad( muallif kitab an-Nasaih ad-Diniyyah)
(gambar-Google imej)










Bagi pelajar-pelajar Malaysia, program ukhuwah sesama warganegara turut diadakan. Terutamanya ketika sambutan hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha. Begitu juga ketika kehadiran tetamu dari tanahair sendiri. Oleh kerana ketika itu pelajar dari Thailand, Singapura dan Kemboja amat kecil  bilangannya maka mereka akan turut serta dalam majlis-majlis yang dianjurkan oleh pelajar Malaysia.


Program bersama wakil kedutaan Malaysia San'a Yaman.(Encik Rosli)-belakang, 4dari kanan.
(maaf gambar kurang jelas)



 
Semoga paparan kali ini memberikan manfaatnya.

Saturday, 16 August 2014

Tarim dalam sebuah puisi






Tajuk: Wadi Hadhramout dan sebuah daerah istimewa.


Disebalik cuacamu yang panas membakar
Dan adakala kesejukan yang nyata sukar
Disebalik debu-debu dijalanan wadimu
Jua kegersangan bukit-bukit berbongkah batu
Disana……
Berdiri, rijal-rijal berpendirian padu
Yang mengalir dalam urat nadinya
Darah nabi kekasih Allah.
Nasal Ba-Alawi punya wibawa dan haibah
Al-Eydrus, as-Saggaf, al-Muhdhar, dan al-haddad
Antara  wali-wali hebat
Pandangannya tepat dan bermanfaat.



Jua ada antara mereka
Punya nasab para syuhadah 
Dari silsilah sahabah Rasulillah
Ba-Fadhal, al-Khatib antara yang disegani
Gelar diberi menyerlah peribadi
Mereka faqeh lagi mulia hati
Tiada dengki malah saling menghargai.

Dan Tareem...
Sebuah daerah penuh barakah
Harum sebutannya dibibir sejarah
Jua pujian pencinta Rasulullah.
Kenapa ia begitu menyerlah?
Sedangkan jauh diselatan Hadhramout pada garis kharithah?

Kerana doa as-Siddiqlah Tareem berubah
Dari daerah sunyi tak dikenal ummah
Ia pun bertukar seri pada wajah
Air wadinya melimpah ruah
Para walinya berkekalan hingga khiamah
Jua baladnya penuh imarah
Tiga doa Abu Bakar Abu A’isyah
Jelas terserlah dimakbulkan Allah
Buat Ahli Tareem 
Ia adalah hadiah
Kerna setia diawal sejarah
Dari ahlinya yang menggenggam baiah
Pada as-Siddiq pengganti Rasulullah
Disaat bahana fitnah zakat dan riddah
Bermaharaja dan bebas meratah.

Disaat Tareem kita jejaki
Terasa seolah kita cuma sendiri
Lantaran belum kita kenali
Siapakah ahli yang mendiami
Daerah al-Ghanna’ yang berberkah ini.

Tapi…..
Ketika ahlinya kita gauli
Dan masajidnya kita ziarahi
Juga madrasahnya kita hadiri
Terasa…
Tidak termuat hanya sekeping hati
Untuk menampung ilmu dan kalam para wali
Serta kasih ahli Tareem pada junjungan nabi
Selawat dan zikir, sentiasa dibibir
Biarpun hidup susah dan getir.

Maka...
Di waktu Tareem kita tinggalkan
Jelas terasa kesan perpisahan
Bakal mengundang sejuta kerinduan
Padamu Tareem,
Wadah pencinta kasih, habibur-Rahman.

Ummu zaharah , Sungai petani Kedah.


(Sebenarnya  permulaan puisi ini ditulis sewaktu mula tiba di Tarim dan pengakhirannya setelah pulang ke Malaysia. Sepatutnya ia diletak dipengakhiran blog. Tapi ingatan pada daerah istimewa ini menyebabkan ia perlu segera di kongsikan.)